KUALA LUMPUR 4 Mac – Velesto Energy Berhad melalui anak syarikatnya, Velesto Workover Sdn Bhd memperoleh dua kontrak jangka panjang daripada Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) bagi menyokong operasi minyak di luar pesisir Sabah.
Melalui kontrak itu, Velesto akan menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan penuh untuk paip utama (TTR) di platform minyak terapung (TLP) milik SSPC.
Velesto berkata projek itu akan dilaksanakan dengan kerjasama INVX Asia Pacific Pte. Ltd, rakan kerjasama utamanya.
Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata kontrak ini mencerminkan kepercayaan SSPC terhadap kepakaran syarikat dalam menyokong aktiviti di luar pesisir secara selamat dan cekap.
“Projek ini juga membantu memperkukuh daya tahan jangka panjang Velesto dengan membolehkan syarikat memperluas jenis perkhidmatan yang ditawarkan.
“Kontrak jangka panjang ini merupakan sebahagian daripada strategi Velesto untuk mengembangkan tawaran penyelenggaraan dan kejuruteraan bersepadu dalam sektor huluan minyak dan gas,” katanya.
Baru-baru ini, Velesto mengumumkan penganugerahan kontrak penggerudian selama lima tahun yang dianggarkan berjumlah RM616 juta atau AS$157 juta daripada PETRONAS Carigali Sdn. Bhd.
Di bawah kontrak tersebut, pelantar jack-up NAGA 2 milik Velesto akan melaksanakan aktiviti penggerudian yang telah bermula pada Februari 2026 bagi tempoh tetap lima tahun.
Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada kadar penggunaan pelantar serta meningkatkan keterlihatan pendapatan Kumpulan bagi tempoh 2026 hingga 2030. - DagangNews.com








