KUALA LUMPUR 5 Nov – UUE Holdings Bhd dijangka terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen utiliti bawah tanah apabila memperoleh subkontrak bernilai RM67.3 juta dengan buku pesana rekod bernilai RM521.9 juta, kata Public Investment Bank.
Firma penyelidikan itu berkata, prospek pendapatan UUE kekal kukuh disokong momentum pelaksanaan projek yang lebih pantas pada 2HFY26 dan aktiviti tender yang sihat.
PublicInvenst turut mengekalkan saranan ‘Outperform’ serta menaikkan harga sasaran kepada RM0.73 berbanding RM0.67 sebelum ini.
Kontrak terbaharu itu diraih daripada Wee Guan Construction untuk kerja pemasangan paip HDPE menggunakan kaedah horizontal directional drilling (HDD) di Singapura iaitu kontrak tunggal terbesar syarikat di republik itu setakat ini.
PublicInvest berkata, sebelum itu, UUE telah memperoleh projek bernilai SGD8.4 juta (RM28.1 juta) pada April 2025, membuktikan syarikat itu sedang menikmati limpahan projek daripada pusingan perbelanjaan modal baharu Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Malaysia dan SP PowerAssets di Singapura.
“Syarikat dilihat berada pada kedudukan tepat untuk memanfaatkan agenda pemodenan infrastruktur tenaga dan peningkatan permintaan utiliti, termasuk pembangunan rangkaian elektrik dan telekomunikasi bawah tanah.
“Di peringkat pengeluaran, segmen pembuatan merekodkan kadar penggunaan kapasiti 52.5% pada 2QFY26, dengan paras tertinggi sementara 70% dicapai pada Ogos 2025 berikutan pemecutan pesanan sebelum pelaksanaan SST.
“Walaupun penggunaan kapasiti kembali normal selepas tempoh itu, kadar tersebut akan meningkat semula seiring pelaksanaan kontrak baharu dan permintaan kabel meningkat menerusi projek kejuruteraan,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Pemacu Pertumbuhan Singapura Semakin Rancak
Di Singapura, pendapatan UUE meningkat ketara kepada RM5.5 juta pada 2QFY26 berbanding RM1.1 juta pada 1QFY26, mencerminkan pemulihan operasi dan kadar mobilisasi tapak yang lebih pantas.
Menurut syarikat, 8 hingga 10 pasukan projek kini berada di tapak, naik mendadak daripada hanya dua pasukan pada Julai 2025.
Subkontrak baharu ini meningkatkan jumlah buku pesanan Singapura kepada RM111.5 juta, untuk dilaksanakan dalam tempoh dua tahun, menjadikan anggaran hasil tahunan RM55.8 juta, lebih dua kali ganda sumbangan RM25.8 juta pada FY25.
Firma itu berkata, hubungan strategik UUE dengan kontraktor EPCC utama seperti Weng Guan dan Taihan turut dilihat sebagai kelebihan kompetitif dalam perolehan projek tenaga di republik itu.
Malaysia Kekal Penyumbang Teras
Di Malaysia pula, pendapatan syarikat melonjak 67.8% suku ke suku dan 52.1% tahun ke tahun pada 2QFY26, disokong pengembangan tenaga kerja serta rangkaian subkontraktor di wilayah Selatan, Pantai Timur dan Utara Semenanjung.
Kontrak berkaitan TNB dalam pengagihan voltan 11/33kV merangkumi RM344 juta daripada jumlah buku pesanan.
Walaupun jumlah tender semasa bernilai RM58.9 juta, PublicInvest menjangkakan peluang lebih besar berikutan pelaburan TNB di bawah Regulatory Period 4 (RP4, 2025–2027).
“Kecekapan penyampaian projek turut membuka potensi lanjutan kontrak serta pesanan yang pelbagai yang boleh menambah nilai pendapatan,” kata firma itu.
Segmen Pembuatan Selari Peningkatan Utiliti Bawah Tanah
Kadar penggunaan kapasiti pembuatan meningkat kepada 52.5% pada 2QFY26 daripada 48.5% pada suku sebelumnya, dipacu sumbangan awal daripada peningkatan Line 1 serta operasi Line 3 yang menumpukan pembuatan kabel gentian optik.
Line 3 kini dalam fasa pensijilan dan pengkomersialan bersama pengendali telekomunikasi utama.
Dengan lebih 50% pengeluaran digunakan secara dalaman bagi projek kejuruteraan, kapasiti pembuatan dijangka meningkat serentak dengan pelaksanaan projek bawah tanah pada 2HFY26.
Ini menambah kelebihan kos dan sinergi rantaian bekalan bersepadu UUE, sekali gus menjamin margin yang lebih stabil berbanding pesaing berasaskan subkontrak semata-mata. - DagangNews.com








