KUALA LUMPUR 7 Mei — Untung bersih SD Guthrie Berhad pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25) melonjak lebih dua kali ganda kepada RM567 juta berbanding RM211 juta pada 1QFY24 didorong prestasi lebih baik dalam segmen huluan.
Hasil bagi tempoh tiga bulan juga meningkat sebanyak 11 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada sebanyak RM4.82 bilion daripada RM4.34 bilion setahun lalu.
Segmen huluan meraih keuntungan berikutan harga purata realisasi tahunan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dengan purata RM4,576 satu tan, meningkat 18 peratus.
Sementara itu, harga isirung sawit melonjak 72 peratus kepada RM3,342 satu tan manakala pengeluaran buah tandan segar (BTS) dalam operasi SD Guthrie di Indonesia naik 11 peratus.
Begitu juga pengeluaran di Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon yang bertambah baik sebanyak 10 peratus, serta mengimbangi penurunan tujuh peratus dalam operasi di Malaysia.
Cabang hiliran kumpulan iaitu SD Guthrie International (SDGI) melaporkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM76 juta pada suku tersebut, turun 37 peratus YoY.
Prestasi SDGI dipengaruhi oleh margin yang lebih rendah dalam segmen produk pukal dan berbeza, serta permintaan lemah dalam operasi di Eropah serta aktiviti perdagangannya.
Ini sebahagiannya dikurangkan oleh prestasi yang lebih baik dan keuntungan yang lebih tinggi daripada operasi Asia Pasifiknya.
Pengerusi SD Guthrie, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, kumpulan itu akan kekal berhati-hati dalam jangka pendek dan sederhana di tengah-tengah persekitaran operasi yang tidak menentu.
Ia berikutan tekanan inflasi berterusan yang didorong oleh dasar monetari dan perdagangan tidak menentu, serta ketegangan geopolitik secara berlanjutan.
"Walaupun begitu, saya yakin kumpulan ini ada daya tahan dan keupayaan diperlukan untuk menghadapi cabaran, seperti dialami pada masa lalu, dengan kekayaan pengalaman dan komitmen tidak berbelah bahagi pengurusan serta pekerja kami," katanya dalam satu kenyataan.
Melangkah ke hadapan, SD Guhtrie kata Nik Norzrul Thani berkata, akan terus kekal fokus dan berdaya tahan dalam menyampaikan prestasinya sepanjang tahun ini.
Harga MSM dijangka rendah dalam tempoh terdekat terutamanya disebabkan oleh peningkatan semula dalam pengeluaran minyak sawit hasil daripada keadaan cuaca yang bertambah baik.
Di samping itu, permintaan daripada pengadunan biodiesel diunjur lemah memandangkan persekitaran harga minyak mentah semasa yang adalah rendah.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata, seiring berjalannya tahun, mereka menyedari keadaan ekonomi dan geopolitik semasa yang mungkin memerlukan anjakan strategik untuk memastikan kumpulan itu berada di landasan kukuh.
"Secara positif, tonggak pertumbuhan taman perindustrian kami mencapai satu kejayaan penting dengan pemeteraian perjanjian tiga pihak baru-baru ini untuk pembangunan tanah utama kumpulan di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan, dalam kawasan pertumbuhan Malaysia Vision Valley 2.0," katanya. - DagangNews.com








