Untung bersih SAM Engineering susut 61% kepada RM12.21 juta pada 3QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih SAM Engineering susut 61% kepada RM12.21 juta pada 3QFY26

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Feb – Untung bersih SAM Engineering & Equipment (M) Berhad merosot 61% kepada RM12.21 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2025 berbanding RM31.34 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SAM berkata keputusan itu sejajar dengan prestasi sektor peralatan semikonduktor yang lebih perlahan serta kesan pertukaran asing yang tidak memihak kepada syarikat.

 

Pada suku tersebut, pendapatan kumpulan susut juga kepada RM359.99 juta berbanding RM406.87 juta sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai menurun kepada RM17.58 juta daripada RM35.98 juta. 

 

Keuntungan sesaham asas dan dicairkan turut berkurang kepada 1.80 sen berbanding 4.63 sen setahun lalu.

 

Untuk tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2025, SAM Engineering merekodkan keuntungan bersih RM39.48 juta, lebih rendah daripada RM66.33 juta pada tempoh sama tahun kewangan lalu. Pendapatan kumulatif juga menurun sedikit kepada RM1.09 bilion daripada RM1.11 bilion sebelumnya.

 

Prestasi yang lebih lemah ini didorong terutamanya oleh penurunan sumbangan daripada segmen peralatan, yang terkesan akibat permintaan lebih rendah daripada pelanggan semikonduktor serta kesan  mata wang berikutan penyusutan dolar Amerika Syarikat.

 

Namun, segmen Aeroangkasa mencatatkan pertumbuhan hasil disokong peningkatan jualan produk struktur dan ‘casing’.

 

Pada asas suku ke suku, pendapatan kumpulan menurun sebanyak RM3 juta berbanding suku sebelumnya, namun keuntungan sebelum cukai meningkat RM1.9 juta kepada RM17.58 juta, dipacu pemulihan prestasi segmen Aeroangkasa. 

 

Keuntungan segmen tersebut meningkat RM3.9 juta, mengimbangi penurunan keuntungan RM2 juta dalam segmen Peralatan.

 

Bagi tempoh sembilan bulan, segmen Aeroangkasa merekodkan hasil RM429.67 juta manakala segmen Peralatan menyumbang RM662.93 juta. Namun, Aeroangkasa mencatatkan kerugian sebelum cukai RM4.98 juta berbanding keuntungan RM59.71 juta yang dijana oleh segmen Peralatan, mencerminkan kos permulaan dan kos peralihan operasi di Thailand.

 

Aliran tunai operasi kekal kukuh dengan aliran masuk bersih RM135.98 juta bagi tempoh sembilan bulan, walaupun lebih rendah berbanding RM171.72 juta setahun lalu. 

 

Pada masa sama, perbelanjaan modal meningkat ketara kepada RM97.71 juta, sejajar dengan pelaburan berterusan dalam aset tetap dan pengembangan kapasiti.

 

Kedudukan tunai kumpulan bertambah kepada RM60.48 juta setakat 31 Disember 2025 berbanding RM27.98 juta pada awal tempoh, disokong aliran tunai operasi positif walaupun terkesan oleh turun naik kadar pertukaran asing. 

 

Jumlah pinjaman kumpulan meningkat kepada RM269.56 juta berbanding RM252.98 juta pada 31 Mac 2025, terutamanya bagi membiayai pembelian aset tetap.

 

Dari segi ekuiti, jumlah ekuiti kumpulan berkurang kepada RM1.34 bilion berbanding RM1.43 bilion sebelumnya, terjejas oleh kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak RM108.2 juta susulan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS.

 

Bagi prospek, kumpulan kekal optimis terhadap permintaan jangka sederhana dan panjang dalam sektor aeroangkasa dan semikonduktor, disokong peningkatan penghantaran pesawat global serta pelaburan berterusan dalam peralatan pembuatan semikonduktor berkaitan kecerdasan buatan. 

 

Walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan perdagangan global, SAM Engineering menjangkakan momentum pelaburan dan permintaan industri akan terus menyokong prestasi kumpulan pada tahun kewangan akan datang. - DagangNews.com