Untung bersih Fiamma lonjak kepada RM50.1 juta pada 1HFY25, dipacu operasi teras lebih stabil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Fiamma lonjak kepada RM50.1 juta pada 1HFY25, dipacu operasi teras lebih stabil

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Fiamma Holdings Berhad, mencatatkan lonjakan keuntungan bersih lebih empat kali ganda kepada RM50.14 juta pada separuh pertama tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2025.


Kumpulan itu terkenal dalam pengedaran dan penyedia rumusan perkhidmatan barangan elektrik isi rumah, sanitari, sistem dapur, perabot bina-dalam, peranti perubatan dan produk penjagaan kesihatan.


Ia menambah, peningkatan itu berbanding RM12.52 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong operasi teras yang lebih stabil serta sumbangan daripada aktiviti korporat dan keuntungan syarikat bersekutu.


"Keuntungan sebelum cukai turut melonjak 176% kepada RM57.94 juta, daripada RM21.01 juta pada 1HFY24, mencerminkan prestasi teguh," kata Fiamma dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Jumlah hasil kumpulan bagi tempoh enam bulan itu ialah RM181.36 juta, namun susut sedikit berbanding RM186.03 juta setahun lalu dengan segmen perdagangan dan perkhidmatan kekal penyumbang utama.


Katanya, ia menjana kira-kira 85.1% daripada jumlah hasil kumpulan, mencatatkan keuntungan kasar yang lebih tinggi sebanyak RM21.35 juta, iaitu peningkatan tinggi berbanding RM19.75 juta pada sebelumnya.


Segmen pembangunan hartanah pula menyumbang 13.6% daripada hasil Fiamma, dengan RM24.58 juta, manakala kerugian sebelum cukai berkurang kepada RM4.13 juta berbanding RM5.47 juta pada tahun lalu.


"Kumpulan juga merekodkan prestasi positif melalui dua projek pembangunan hartanah syarikat bersekutu iaitu Dawn Residence dan Aricia Residence yang dijangka siap menjelang akhir 2028," tambahnya lagi.


Kedua-dua projek itu masing-masing mencapai kadar ambilan unit kira-kira 85% dan 35% dalam tempoh setahun selepas pelancaran serta dijangka terus menyumbang kepada keuntungan masa depan kumpulan.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fiamma, Tan Chee Wee @ Jimmy, berkata prestasi pada tempoh enam bulan yang pertama tahun ini membuktikan daya tahan perniagaan teras kumpulan tersebut.


Peningkatan kukuh keuntungan menunjukkan kekuatan berterusan segmen perdagangan dan perkhidmatan serta pembangunan hartanah selain sumbangan syarikat bersekutu turut memperkukuh asas pendapatan.


"Meskipun berdepan persekitaran luaran yang mencabar termasuk kenaikan kos operasi, perluasan cukai dan ketidaktentuan perdagangan global, kami kekal yakin terhadap keupayaan diri sendiri," katanya.


Chee Wee berkata, Fiamma kini dalam perancangan memperluaskan penawaran produk elektrik isi rumah ke dalam kategori baharu termasuk penyaman udara, selain terus menambah portfolio barangan cekap tenaga.


Dalam masa sama, kumpulan memperkukuh segmen perubatan dan penjagaan kesihatan melalui saluran institusi dan pengguna serta memperluaskan rangkaian pengedaran dan strategi penjenamaan.


Tambah beliau, kumpulan optimistik mampu mengekalkan momentum pertumbuhan dan terus menjana nilai berterusan kepada para pemegang saham, walaupun dalam persekitaran pasaran yang dinamik.


“Gabungan strategi pelbagai segmen, kecekapan operasi dan produk inovatif memberikan landasan kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang kami,” ujar Chee Wee. - DagangNews.com