Untung bersih Cropmate RM14.7 juta bagi FY25, naik 23.5% didorong permintaan domestik kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Cropmate RM14.7 juta bagi FY25, naik 23.5% didorong permintaan domestik kukuh

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 FebCropmate Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) tertinggi dalam sejarah sebanyak RM14.7 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).


Jumlah tersebut jelas kumpulan berkenaan, meningkat 23.5% berbanding RM11.9 juta pada tahun sebelumnya, dipacu permintaan domestik yang berdaya tahan serta pengurusan kos yang berdisiplin.


Syarikat pembuatan baja konvensional dan khusus itu menambah, ia turut merekodkan peningkatan hasil bagi FY25 mencecah sebanyak 22.3% kepada RM196.5 juta berbanding kira-kira RM160.7 juta pada FY24.


"Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula berkembang kepada RM19.6 juta daripada RM16 juta sebelumnya, sejajar dengan pertumbuhan jualan," kata Cropmate dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Perkembangan positif berkenaan jelasnya, terutama daripada aktiviti pertanian di ladang kelapa sawit dan dusun durian yang terus menjadi penyumbang paling utama kepada pendapatan kumpulan tersebut.


Bagi suku keempat FY25, ia mencatatkan hasil sebanyak RM41.3 juta, meningkat 14.4% tahun ke tahun (YoY), manakala PAT melonjak kepada RM3.5 juta berbanding kira-kira RM2.2 juta sebelumnya.


Margin keuntungan kasar kumpulan berkenaan tambahnya, adalah kekal sihat pada 17.1%, sekali gus mencerminkan kekuatan disiplin harga dan kecekapan operasi secara berterusan yang dilaksanakan.


"Jualan domestik masih lagi dikenal pasti kekal mendominasi dengan sumbangan mencecah sebanyak 97.1% kepada jumlah hasil FY25, manakala eksport melengkapi prestasi kumpulan," kata Cropmate.


Menurut Pengarah Urusannya, Lee Chin Yok, penghantaran produk syarikat tersebut meliputi banyak pasaran utama termasuk Kemboja, Singapura, India, Indonesia, Vietnam, Sri Lanka, Mauritius dan Jepun.


Tambahnya, sejak ditubuhan pada 2018, hasil syarikat tersebut berkembang daripada RM9.9 juta kepada RM196.5 juta pada FY25, mencerminkan pertumbuhan konsisten selepas penyenaraian di Pasaran ACE.


Setakat 24 Februari 2026, sebanyak RM41.6 juta daripada hasil tawaran awam permulaan (IPO) Cropmate berjumlah RM42 juta sudah habis digunakan terutamanya bagi modal kerja, dan perbelanjaan modal.


"Selain itu, dana IPO berkenaan dibelanjakan untuk kos penyenaraian dan pemerolehan hartanah baharu termasuk Lot Kilang 8949 dan 8950 yang sudah selesai diambil alih sepenuhnya," kata Chin Yok.


Selaras dengan prestasi kukuh itu, lembaga pengarah mencadangkan dividen satu peringkat akhir 0.6 sen sesaham biasa bagi FY25, tertakluk kelulusan pemegang saham pada mesyuarat agung tahunan.


Mengulas prospek, beliau berkata permintaan baja dijangka kekal berkait rapat dengan perkembangan sektor kelapa sawit dan tanaman makanan, meskipun berdepan ketidaktentuan harga. - DagangNews.com