Untung bersih CPE bagi 2QFY26 merosot 82.8% kepada RM1.8 juta akibat permintaan semikonduktor lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih CPE bagi 2QFY26 merosot 82.8% kepada RM1.8 juta akibat permintaan semikonduktor lemah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 Feb - CPE Technology Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM1.80 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025, merosot 82.8% berbanding RM10.47 juta pada tempoh sama FY25.


Penurunan ketara ini disebabkan oleh permintaan pasaran semikonduktor yang perlahan, aktiviti pengeluaran lebih rendah, serta peningkatan kos operasi semasa seperti kos buruh dan utiliti.


Kumpulan merekodkan hasil RM25.16 juta, susut 24% daripada RM33.20 juta pada 2QFY25 sebelumnya, dengan sektor semikonduktor kekal penyumbang terbesar iaitu RM15.59 juta atau kira-kira 61.97%.


"Selain kelembapan pasaran, margin keuntungan terkesan oleh perbelanjaan bagi pembangunan produk baharu Bersama dengan pelanggan sedia ada dan baharu," maklum CPE kepada Bursa Malaysia hari ini.


Kumpulan tersebut juga mengalami kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak RM0.76 juta bagi suku dikaji, manakala syarikat mengisytiharkan dividen interim pertama 1.50 sen sesaham bagi tempoh itu. 


Dari segi prospek masa depan, ia kini berada di peringkat akhir rundingan untuk kerjasama teknikal dengan rakan kongsi dari Jepun bagi meningkatkan keupayaan teknikal dan kompetensi pembuatan.


Walaupun menghadapi cabaran jangka pendek, pengurusan CPE masih lagi optimis terhadap pemulihan permintaan peralatan semikonduktor global yang dijangka berkembang baik sepanjang 2026 dan 2027.


"Perkembangan positif tersebut didorong oleh faktor pelaburan dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) yang diunjur dapat meningkatkan semula pendapatan serta meningkatkan keuntungan bersih," katanya.


Syarikat itu akan terus fokus pada disiplin operasi dan kecekapan kos untuk mengimbangi turun naik pasaran semikonduktor dan ketidaktentuan pertukaran mata wang asing. - DagangNews.com