KUALA LUMPUR 23 Feb - Keuntungan bersih Kossan Rubber Industries Bhd melonjak 68.5% kepada RM46.67 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4Q25) berbanding RM27.7 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya, didorong peningkatan kecekapan operasi pengeluaran.
Bagaimanapun, hasil kumpulan susut 15.1% kepada RM439.48 juta daripada RM517.9 juta pada S4 TK2024 berikutan penurunan pendapatan bahagian sarung tangan.
Bahagian itu merekodkan hasil RM367.7 juta, turun 16.47% berbanding RM440.2 juta setahun lalu, terutamanya akibat pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.
Selain itu, penghantaran bernilai RM35.6 juta ditangguhkan ke Januari 2026 berikutan kesesakan pelabuhan, sekali gus menjejaskan prestasi suku berkenaan.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih meningkat 27.86% kepada RM151.31 juta berbanding RM118.34 juta pada tahun sebelumnya.
Namun, hasil tahunan susut 8.78% kepada RM1.75 bilion daripada RM1.92 bilion, disebabkan penyusutan 8.89% hasil bahagian sarung tangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kossan berkata prestasi hasil turut terkesan akibat pemberhentian operasi pengeluaran selama 10 hari pada April susulan gangguan bekalan gas oleh Gas Malaysia berikutan insiden letupan saluran paip di Putra Heights, selain faktor pengukuhan ringgit.
Mengulas prospek, Kossan berkata sarung tangan kekal sebagai produk guna habis penting dalam sektor penjagaan kesihatan serta aplikasi industri dan khusus, yang menyokong permintaan stabil.
Permintaan itu turut disokong keperluan pengisian semula berterusan dan peningkatan aktiviti sektor kesihatan serta industri.
Bagaimanapun, industri sarung tangan masih berdepan lebihan kapasiti global dan persaingan sengit daripada pengeluar China yang mengalihkan eksport ke pasaran bukan Amerika Syarikat, sekali gus memberi tekanan berterusan terhadap harga dan margin.
Sementara itu, bahagian produk getah teknikal dijangka beroperasi dalam persekitaran mencabar tahun ini berikutan ketidaktentuan pasaran dan tekanan kos.
Sektor infrastruktur dijangka pulih secara sederhana berbanding 2025, manakala sektor automotif terus berdepan tekanan margin akibat pengukuhan ringgit. - DagangNews.com








