Unisem yakin prestasi 2026 kekal memuaskan, untung bersih 4Q25 melonjak kepada RM52.1 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unisem yakin prestasi 2026 kekal memuaskan, untung bersih 4Q25 melonjak kepada RM52.1 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Feb – Unisem (M) Bhd menjangkakan prestasi kumpulan kekal memuaskan pada tahun kewangan akan datang meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kos operasi serta kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, prospek berkenaan disokong oleh permintaan berterusan yang kukuh terhadap semikonduktor berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan pusat data.

 

“Walaupun keadaan pasaran mencabar termasuk ketidaktentuan ekonomi, peningkatan kos dan dolar AS yang lebih lemah, para pengarah menjangkakan kumpulan akan mencatat prestasi memuaskan pada tahun kewangan akan datang, disokong permintaan kukuh bagi semikonduktor berkaitan AI dan pusat data,” katanya.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, keuntungan bersih Unisem melonjak kepada RM52.1 juta atau 3.23 sen sesaham berbanding RM8.7 juta atau 0.54 sen sesaham pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Hasil suku tersebut meningkat 16.7% kepada RM480.5 juta daripada RM411.8 juta.

 

Menurut Unisem, peningkatan keuntungan bersih itu didorong terutamanya oleh pertumbuhan hasil serta keuntungan daripada pembubaran subsidiari asing berjumlah RM23.771 juta.

 

Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, keuntungan bersih kumpulan meningkat 42.8% kepada RM86.6 juta berbanding RM60.7 juta sebelumnya, manakala hasil naik 18.4% kepada RM1.9 bilion daripada RM1.6 bilion.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Unisem mengumumkan dividen interim keempat sebanyak 1.0 sen sesaham secara satu peringkat (single-tier) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, yang akan dibayar pada 3 April 2026. - DagangNews.com