KUALA LUMPUR 14 April – UMW Toyota Motor terus memperkukuh kedudukan dengan mencatat jualan 5,814 unit kereta pada Mac 2026 ketika industri automotif tempatan berdepan persaingan yang sengit.
Prestasi itu menjadikan jumlah jualan terkumpul tahun ini (YTD) kepada 15,370 unit, disokong oleh permintaan berterusan, kempen promosi serta kekuatan ekosistem pemilikan Toyota di seluruh negara.
Katanya, syarikat itu kekal sebagai jenama automotif bukan nasional popular, dengan rangkaian produk yang menyeimbangkan antara aspek praktikal, kecekapan dan nilai pemilikan dalam jangka panjang.
"UMW Toyota Motor terus mempercepat strategi elektrifikasi menerusi pendekatan 'Multi-Pathway' dengan memperkenalkan tiga lagi model kenderaan elektrik bateri (BEV)," jelasnya dalam kenyataan.
Artikel berkaitan: UMW Toyota perkenal 3 kenderaan elektrik bateri berharga RM198,000 - RM226,300

Langkah itu melengkapkan kekuatan sedia ada, termasuk pelancaran Toyota Harrier Hybrid yang ditawarkan sebagai varian hibrid sepenuhnya menerusi segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) premium.
Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K menerusi kenyataan tersebut berkata, peralihan trend kepada teknologi automotif baharu perlu diterjemahkan sesuai kepada kegunaan harian yang lebih praktikal.
“Perkara paling penting adalah tahap kebolehpercayaan, kos pemilikan dan keupayaan kenderaan yang kami tawarkan ketika ini dapat memenuhi keperluan pengguna dalam tempoh jangka panjang,” katanya.
Selain produk, syarikat berkenaan turut memperkukuh ekosistem pemilikan melalui inisiatif dikenali 'Toyota Extra Mile' yang merangkumi ganjaran, perlindungan, kemudahan dan sokongan selepas jualan.

Kumpulan tersebut berkata, kemudahan itu disokong oleh rangkaian lebih 100 pusat servis di seluruh negara dan platform digital melalui aplikasi Toyota MY App bagi meningkatkan pengalaman pelanggan.
Di samping itu ujarnya, sebagai galakan, pelanggan yang memuat turun dan mendaftar aplikasi ini dari April hingga Jun 2026 akan menerima ganjaran mata serta boleh ditebus untuk baucar servis.
Selain itu, bersempena musim perayaan yang berterusan, UMW Toyota Motor turut menawarkan promosi dengan penjimatan sehingga RM7,500 bagi model-model terpilih serta pelan pembiayaan fleksibel.
"Tawaran ini bertujuan memudahkan pelanggan mendapatkan kenderaan yang boleh dipercayai untuk perjalanan pulang ke kampung dan aktiviti bersama-sama keluarga," kata syarikat tersebut lagi.
Secara keseluruhan, ia kekal fokus memperluas mobiliti mampan melalui gabungan elektrifikasi, sokongan selepas jualan dan rumusan digital, selari keperluan pengguna Malaysia. - DagangNews.com








