UMW Toyota perkenal 3 kenderaan elektrik bateri berharga RM198,000-RM226,300 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UMW Toyota perkenal 3 kenderaan elektrik bateri berharga RM198,000-RM226,300

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 2 April — UMW Toyota Motor (UMWT) memacu agenda mobiliti rendah karbon negara dengan memperkenalkan tiga kenderaan elektrik bateri (BEV), untuk pasaran automotif di Malaysia.


Tiga model tersebut ialah Toyota bZ4X, Toyota Hilux BEV dan Toyota Urban Cruiser, yang merangkumi segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) penumpang, mobiliti bandar serta kenderaan komersial.


Pelancaran yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Subang Jaya, Selangor itu turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin.


"Beliau menyifatkan pengenalan teknologi kenderaan elektrik (EV) sebagai langkah penting dalam memperkukuh daya saing industri automotif dan memperluas penawaran mobiliti," kata kenyataan UMWT.

 

Toyota


Toyota


Sementara itu, menurut Presiden UMWT, Datuk Ravindran K, pengenalan model BEV tersebut adalah selari dengan pendekatan Toyota Motor Corporation, yang menggabungkan pelbagai teknologi baharu.


Langkah berkenaan bagi menyokong peralihan ke arah neutral karbon di negara ini tanpa menjejaskan keperluan mobiliti harian pengguna, dengan turut mengambil kira keperluan unik pasaran Malaysia.


Kata beliau, pendekataan tersebut membolehkan pengguna membeli kenderaan yang bukan sahaja untuk perjalanan bandar, malah dapat menyokong aktiviti ekonomi dan sosial merentasi pelbagai sektor.


“Perkembangan positif ini memastikan segala teknologi moden mampu diperkenalkan secara praktikal dan selaras dengan keperluan rakyat serta industri tempatan,” kata Ravindran dalam kenyataan itu.
 

Toyota

 

Toyota


Model utama, Toyota bZ4X ditawarkan pada harga bermula RM220,000, manakala Hilux BEV dijual dengan harga dari serendah RM226,300 yang menyasarkan sektor komersial seperti logistik dan pembinaan.


Dalam pada itu, Urban Cruiser sebagai model SUV elektrik kompak pula ditawarkan dari RM198,000, dengan menyasarkan pengguna bandar menerusi reka bentuk moden serta fungsi yang praktikal.


UMWT berkata, pengenalan EV ini merupakan langkah perjalanan elektrifikasi seterusnya syarikat, dibina atas pengalaman luas Toyota dalam teknologi hibrid dan elektrifikasi di peringkat global.


"Seiring perkembangan landskap mobiliti negara, UMWT terus bekerjasama dengan pihak industri dan pembuat dasar bagi memastikan teknologi rendah karbon diperluaskan secara mampan," katanya.


Usaha  ini juga sejajar visi 'Beyond Zero' Toyota menyampaikan rumusan mobiliti yang bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon, tetapi meningkatkan nilai kepada pengguna. - DagangNews.com