UMS Integration rancang gabung tiga syarikat Vietnam di bawah entiti baharu sektor semikonduktor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UMS Integration rancang gabung tiga syarikat Vietnam di bawah entiti baharu sektor semikonduktor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Jun – UMS Integration Ltd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat di Vietnam bagi meneroka cadangan penstrukturan semula serta pelaburan dalam perniagaan kejuruteraan ketepatan di negara itu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kerjasama berkenaan melibatkan Viet Nguyen Mechanical Precision Co Ltd, Central Metal Mechanical Co Ltd dan Global Metal Plating Co Ltd.

 

Menurut UMS Integration, ketiga-tiga syarikat tersebut dijangka disatukan di bawah sebuah entiti baharu sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula yang dicadangkan.

 

“Syarikat baharu itu akan menjadi platform utama bagi menggabungkan operasi pemprosesan logam, salutan logam serta kejuruteraan ketepatan yang menyokong industri semikonduktor dan industri berkaitan di Vietnam.

 

“Di bawah cadangan itu, UMS Integration bercadang melabur kira-kira AS$3.6 juta bagi melanggan saham dalam syarikat baharu tersebut,” katanya.

 

Selepas urus niaga dimuktamadkan, syarikat itu dijangka memiliki pegangan sebanyak kira-kira 51.6%, tertakluk kepada proses semakan terperinci serta penilaian akhir.

 

UMS Integration berkata, perniagaan terbabit ketika ini menyediakan perkhidmatan pemprosesan logam dan salutan logam kepada pelanggan dalam sektor semikonduktor serta industri berkaitan di Vietnam.

 

Katanya, langkah itu selaras dengan strategi kumpulan untuk memperluaskan kehadiran pembuatan di Asia Tenggara selain mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan industri semikonduktor serantau.

 

Bagaimanapun, syarikat itu menjelaskan cadangan transaksi tersebut masih tertakluk kepada pemeteraian perjanjian muktamad dan tiada jaminan ia akan direalisasikan.

 

UMS Integration Ltd merupakan syarikat yang berpangkalan di Singapura, namun turut disenaraikan di Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada pasaran saham tempatan. - DagangNews.com