KUALA LUMPUR 27 Feb - UEM Sunrise Bhd mampu memberi kejutan dalam pertumbuhan jualan hartanah bagi tahun kewangan 2026, meskipun kumpulan hanya menyasarkan jualan sebanyak RM1.3 billion, kata penganalisis.
Dua firma penyelidikan Maybank Investment Bank (Maybak IB) dan CGS International (CGSI) menyifatkan nilai anggaran ditetapkan itu sebagai bersifat konservatif dan yakin berdasarkan situasi semasa kumpulan sebenarnya mampu melepasi sasaran berkenaan.
Maybank IB menyasarkan UEM mampu menjual sehingga RM1.5 billion nilai hartanah pada FY26 disokong oleh pelancaran hartanah baharu bernilai RM2.2 bilion.
CGSI pula berkata, walaupun sasaran jualan kelihatan konservatif, rancangan pelancaran yang berterusan dilihat sebagai kejutan positif memandangkan tiada projek besar luar negara.
"Ini menunjukkan pengurusan lebih yakin terhadap pasaran hartanah domestik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu CGSI mengekalkan saranan PEGANG ke atas UEMS dengan harga sasaran RM0.60 sesaham, berdasarkan diskaun 65% kepada RNAV sesaham RM1.71.
Walaupun prestasi kewangan syarikat stabil, pendapatan dijangka sederhana bagi FY25F–27F, dengan CAGR EPS tiga tahun -19%, terjejas oleh tempoh pengewangan bank tanah yang panjang.
Maybank IB turut mengekalkan saranan PEGANG dengan harga sasaran baharu MYR0.58 berdasarkan gandaan P/RNAV 0.35x.
Firma itu turut melaraskan unjuran pendapatan FY26/27E sebanyak +3%/-2%, mengambil kira prestasi sebenar FY, andaian jualan FY26 sebanyak MYR1.5 bilion, serta semakan margin keuntungan projek JSSEZ dan kemajuan pengebilan.
Nisbah gearan bersih berada pada 0.36x pada akhir 4Q25 berbanding 0.38x pada akhir 3Q25.
Sementara itu RHB Research mengekalkan saranan BELI dengan TP RM1.09, menawarkan potensi kenaikan sehingga 80% dan hasil dividen sekitar 2%, selepas mencatat prestasi jualan hartanah FY25 melebihi sasaran pengurusan.
Pendapatan teras 4Q25 UEMS berada dalam jangkaan, walaupun keuntungan bersih suku tersebut terjejas oleh beberapa pelarasan bukan operasi, termasuk kerugian pelunasan RM53.1 juta ke atas inventori berkaitan projek legasi.
Jika dikecualikan pelarasan tersebut, pendapatan teras FY25 meningkat 16.4%, manakala nisbah hutang bersih kekal stabil pada 0.37x. Dividen sebanyak 1.43 sen sesaham diumumkan, mengekalkan nisbah pembayaran dividen 60%.
Jualan hartanah FY25 mencatat RM1.424 bilion, melebihi sasaran RM1.05 bilion, dengan projek di wilayah Tengah menyumbang 55% dan baki daripada wilayah Selatan.
Projek utama penyumbang termasuk Connaught One (RM217.3 juta), The Minh (RM189.2 juta), Residensi Zig (RM158 juta) dan Aspira Hills (RM295.7 juta). Projek antarabangsa The One Oval di Subiaco, Perth, menyumbang RM136 juta, dengan pengambilan dijangka meningkat daripada 17% pada tahun ini. - DagangNews.com








