KUALA LUMPUR 18 Mac – Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, merancang untuk membangunkan hartanah kediaman di atas tanah miliknya di Holland Road susulan pertukaran tanah dengan kerajaan Singapura yang diumumkan tahun lalu.
Dalam satu kenyataan media yang disiarkan di laman web Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar Singapura (URA), pihak berkuasa itu memaklumkan bahawa ia telah menerima permohonan pembangunan daripada Pemangku Raja Johor bagi membangunkan lot tanah tersebut untuk projek kediaman.
“Pemangku Raja Johor telah mengemukakan permohonan untuk membangunkan tanahnya dengan perumahan banglo mewah,” menurut kenyataan itu.
Pada Jun 2025, satu perjanjian pertukaran tanah telah dimeterai, di mana Singapura menerima sebidang tanah seluas 13 hektar yang bersempadan dengan Singapore Botanic Gardens, manakala Tunku Mahkota Ismail menerima tanah milik kerajaan seluas 8.5 hektar sebagai pertukaran.
Susulan perjanjian tersebut, Pemangku Raja Johor kini memiliki tanah seluas 16.6 hektar di Holland Road yang sesuai untuk pembangunan kediaman yang dirancang tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemangku Sultan Johor, Singapura bersetuju tukar tanah di Holland Road dengan nilai setara
Kenyataan itu menyebut bahawa URA bersama agensi berkaitan telah meneliti permohonan pembangunan tersebut dan menilai bahawa pelan yang dicadangkan adalah sesuai dengan kawasan kejiranan kediaman sekitarnya.
Pelan itu juga mematuhi sekatan ketinggian semasa yang bertujuan melindungi nilai visual Taman Botani Singapura yang merupakan Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Sehubungan itu, URA memaklumkan bahawa ia telah mencadangkan penukaran zon guna tanah milik Pemangku Raja Johor daripada status ‘kegunaan khas’ dan ‘ruang terbuka’ kepada status ‘kediaman’.
“Sekiranya cadangan penukaran zon ini diluluskan, sebahagian daripada tanah yang dizonkan sebagai ‘kediaman’ juga akan ditetapkan sebagai kawasan banglo mewah bagi mencerminkan jenis perumahan yang akan dibangunkan.
“Pihak pemaju juga dikehendaki menjalankan kajian alam sekitar sebelum kerja-kerja pembangunan dimulakan bagi mengurangkan sebarang kesan terhadap alam sekitar,” tambahnya. – BERNAMA








