Pemangku Sultan Johor, Singapura bersetuju tukar tanah di Holland Road dengan nilai setara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemangku Sultan Johor, Singapura bersetuju tukar tanah di Holland Road dengan nilai setara

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Jun — Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bersetuju untuk melakukan pertukaran sebidang tanahnya di Holland Road, dengan kerajaan Singapura.


Pihak Berkuasa Tanah Singapura (SLA) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) berkata, Tunku Ismail akan memindahkan 13 hektar tanahnya di kawasan itu, kepada kerajaan republik tersebut.


Tanah berkenaan berhampiran dengan Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Botani Singapura dan sebagai pertukaran, Singapura akan memindahkan 8.5 hektar tanah negara itu kepada Tunku Ismail.

 

 

 

 

 


"Petak tanah baharu yang akan terlibat dalam usaha pertukaran tersebut memang dikenal pasti sebagai mempunyai nilai setara," kata kedua-dua pihak berkenaan menerusi satu kenyataan bersama. 

 

holland
Foto ihsan The Straits Times Singapore


Tunku Mahkota Johor itu pada ketika ini memiliki tanah berkeluasan 21.1 hektar di Holland Road, yang berada di bawah status hak milik persendirian kerabat diraja Johor tersebut sejak turun-temurun.


Tunku Ismail pernah bercadang membangunkan tanahnya, namun kedua-dua pihak bersetuju dengan pertukaran itu agar pembangunan yang dirancang akan terletak jauh dari Tapak Warisan Dunia UNESCO.


"Pemangku Sultan Johor kemungkinan berhasrat membangunkan tanahnya selepas pertukaran itu, yang sesuai untuk kegunaan kediaman bertingkat rendah dan berkepadatan rendah," kata kenyataan itu.

 

holland
Rajah peta ihsan Pihak Berkuasa Pembangunan Semula Bandar (URA) Singapura


SLA dan URA bagaimanapun menambah bahawa sebarang bentuk rancangan pembangunan di kawasan tersebut setelah selesai pertukaran akan tertakluk kepada proses yang sewajarnya.


"URA dan agensi terlibat akan menilai bentuk pembangunan sesuai dan memastikan cadangan tersebut sebagai sensitif kepada konteks tapak sekeliling," kata kenyataan berkenaan lagi.


Justeru, sebelum memulakan apa-apa kerja, projek pembangunan dirancang itu akan tertakluk kepada kajian alam sekitar untuk mengurangkan sebarang potensi kesan terhadap persekitaran.


Kerajaan Singapura juga memastikan tanah yang akan diterima daripada Tunku Ismail tidak dimajukan buat masa ini, namun ia terbuka mengekalkan rancangan masa depan untuk kawasan itu. - DagangNews.com