Tindakan Sapura Energy terbitkan RCLS kepada MoF satu langkah mengejutkan - BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tindakan Sapura Energy terbitkan RCLS kepada MoF satu langkah mengejutkan - BIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Mei — Tindakan Sapura Energy Berhad menerbitkan saham pinjaman boleh tukar boleh tebus (RCLS) kepada Kementerian Kewangan (MoF) pada harga RM0.024 sesaham, atau 48 sen sesaham disatukan ternyata sebagai satu langkah mengejutkan, kata BIMB Securities.


Firma penyelidikan tersebut berpendapat, impak daripada pencairan saham kumpulan berkenaan adalah lebih besar berbanding apa yang difikirkan, kerana penerbitan RCLS secara kasar akan menawarkan potongan sebanyak 40 peratus kepada harga pasaran.


Katanya, pengurusan kontraktor huluan minyak dan gas (O&G) itu menyatakan terdapat dua sebab utama mewajarkan penetapan harga diskaun kepada kerajaan iaitu untuk menggalakkan kerajaan melanggan sepenuhnya RCLS dan keperluan pembiayaan segera.


“MoF dijangka menjadi pemegang saham majoriti syarikat berkenaan dengan kepentingan sebanyak 37.7 peratus manakala beberapa institusi pembiayaan pelbagai mata wang pula akan memiliki 47.2 peratus,” kata BIMB Securities dalam satu nota kajiannya.


Pada 14 Mei 2025, Sapura Energy mengumumkan rancangan penyusunan semula untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) dengan beberapa strategi termasuk cadangan pengurangan modal sebanyak 99.9 peratus dan penyatuan 20 saham kepada satu.


Artikel berkaitan:

Sapura Energy rancang pengurangan modal 99.99%, hapuskan separuh hutang menerusi pelan penyusunan semula

 

MOF dan tiga bank tempatan bakal pegang kepentingan besar dalam Sapura Energy selepas penstrukturan semula


Syarikat perkhidmatan O&G tempatan itu turut mencadangkan penstrukturan semula hutang untuk mengurangkan pinjamannya daripada RM10.8 bilion kepada sebanyak RM5.6 bilion, selain cadangan pengumpulan dana daripada MoF yang berjumlah RM1.1 bilion.


Ia juga telah memulakan pelan penetapan semula, dengan menumpukan pada penambahbaikan pembidaan dan keupayaan penyampaian projek yang menyaksikan kumpulan itu menghasilkan pendapatan tahunan mampan sebanyak RM4 bilion sejak dilancarkan pada 2022.


Mengulas lanjut, BIMB Securities berkata, walaupun tiada perubahan kepada pelan penyusunan semula seperti yang dipandu oleh pihak pengurusan, langkah dirancang itu telah memberi sedikit kejelasan dari segi butiran terperinci untuk pelan pemulihannya.


Sebagai rujukan, kedudukan ekuiti pemegang saham Sapura Energy berada dalam defisit sebanyak RM3.6 bilion pada Januari 2025. - DagangNews.com