Sapura Energy rancang pengurangan modal 99.99%, hapuskan separuh hutang menerusi pelan penyusunan semula | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sapura Energy rancang pengurangan modal 99.99%, hapuskan separuh hutang menerusi pelan penyusunan semula

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mei - Syarikat perkhidmatan minyak dan gas, Sapura Energy Bhd mendedahkan pelan penyusunan semula untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) yang melibatkan pengurangan modal sebanyak 99.99% serta penstrukturan semula hutang bagi mengurang hampir separuh jumlah pinjaman kepada RM5.6 bilion.

 

Kumpulan itu berkata, pelan akhir itu "akan dikemukakan tidak lama lagi" dan ia merangkumi beberapa mekanisme seperti penukaran hutang kepada ekuiti, instrumen seperti ekuiti dan pelepasan hutang. 

 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Muhammad Zamri Jusoh berkata, pelan itu bertujuan menyelesaikan jumlah hutang dan liabiliti perdagangan berjumlah RM12.1 bilion — dengan RM10.8 bilion daripadanya merupakan jumlah pinjaman — dan mengembalikan kumpulan kepada keuntungan serta memulihkan keyakinan pihak berkepentingan.

 

Daripada jumlah RM12.1 bilion itu, hutang akan dikurangkan kepada RM5.23 bilion. Sejumlah  RM784 juta akan ditebus, RM2.25 bilion akan dibayar menggunakan hasil penjualan pegangan Sapura Energy dalam unit penerokaan dan pengeluarannya, RM1.1 bilion akan diselesaikan melalui terbitan saham baharu Sapura Energy manakala RM1.77 bilion akan dilangsaikan melalui penerbitan sekuriti hutang.

 

Penstrukturan hutang itu dijangka mengurangkan kos kewangan sebanyak RM517 juta atau hampir 60%, kepada RM322.3 juta, berbanding RM863.5 juta bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Januari 2025.

 

"Hutang RM5.23 bilion itu kemudiannya akan dibayar melalui pendapatan daripada perniagaan penggerudian dan usaha sama Sapura Energy di Brazil, di mana enam kapal sokongan pemasangan paip sedang beroperasi di bawah kontrak jangka panjang.

 

"Pengurangan modal ini akan menyaksikan modal saham Sapura Energy dikurangkan daripada kira-kira RM12 bilion kepada hanya lebih RM1 juta. Ini akan diikuti dengan latihan penggabungan saham 20 kepada 1, yang akan mengurangkan jumlah saham beredar kepada antara 919 juta dan 1.01 bilion," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Bagi sekuriti hutang, ia akan diterbitkan pada harga RM1.20 seunit, dengan kadar kupon tahunan dianggarkan antara 2% hingga 4%, dan tempoh matang selama lapan tahun.

 

Selain itu, kumpulan itu berkata Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) — milik penuh Kementerian Kewangan — yang telah melabur dalam saham pinjaman boleh tukar boleh tebus (RCLS) Sapura Energy bernilai RM1.1 bilion, akan memohon pengecualian daripada membuat tawaran am mandatori. 

 

Ini kerana MDH akan memegang 33% kepentingan dalam Sapura Energy jika keseluruhan RCLS ditukar kepada saham biasa. Dana tersebut sebelum ini disalurkan bagi membantu Sapura Energy melunaskan hutang kepada vendor, menurut pengumuman kerajaan.

 

Dari segi operasi, Sapura Energy berkata, mereka tidak lagi meneruskan kontrak EPCIC (kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan) secara menyeluruh yang gagal mengambil kira turun naik kos dan pengangguran aset projek.

 

Sebaliknya, tumpuan kini diberikan kepada kontrak subsegmen yang lebih pendek dan khusus, bagi mengurangkan risiko lebihan kos serta meningkatkan penggunaan aset, selain meneroka segmen baharu seperti kerja nyahaktif (decommissioning).

 

Langkah penyusunan semula itu juga akan mengurangkan pegangan langsung Amanah Saham Bumiputera (ASB) dalam Sapura Energy kepada 14.85%, daripada 36.97%. ASB ialah dana utama yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB).

 

Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin, dan abangnya Datuk Shahriman Shamsuddin, akan memegang kurang daripada 5% kepentingan dalam syarikat itu selepas penyusunan semula. Mereka kini memegang 11.25% secara tidak langsung melalui Brothers Capital Sdn Bhd, serta 0.95% secara langsung oleh Shahril.

 

Tiga bank akan menjadi pemegang kepentingan utama dalam Sapura Energy iaitu Maybank Islamic Bhd (sekurang-kurangnya 16.31%), CIMB Bank Bhd (sekurang-kurangnya 7.37%) dan RHB Islamic Bank Bhd (sekurang-kurangnya 5.8%).

 

"Kami berharap pelan ini bukan sahaja akan membolehkan pemulihan Sapura Energy, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekosistem tenaga negara," kata Muhammad Zamri.- DagangNews.com