KUALA LUMPUR 9 Julai – THMY Holdings Berhad, penyedia sistem ujian automatik bagi produk elektrik dan elektronik (E&E), memulakan pembinaan kilang baharu serta pejabat korporat di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya.
Pembinaan kilang baharu berkenaan dijangka siap pada suku kedua 2028 yang akan menyediakan ruang tambahan kepada THMY untuk meningkatkan skala operasi dan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin kompleks.
THMY berkata, kilang baharu itu direka khusus bagi menyokong perkembangan perniagaan kumpulan dengan meningkatkan kapasiti pembuatan serta memperkukuh keupayaan teknikal dalam membangunkan perkhidmatan sistem ujian automatik.
“Pada peringkat awal operasi, ia akan menempatkan sebanyak 20 stesen kerja penyelesaian ujian automatik yang membolehkan THMY meningkatkan jumlah pengeluaran serta menyokong keperluan pelanggan dalam sektor berteknologi tinggi,” katanya.
Langkah itu akan membantu THMY merebut peluang daripada permintaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian ujian automatik, khususnya dalam industri pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan.
Kilang baharu berkenaan turut akan menyediakan ruang pengeluaran tambahan yang membolehkan THMY melaksanakan projek lebih besar dan kompleks, selain meningkatkan keupayaan kumpulan untuk berkembang dalam ekosistem pembuatan E&E serantau.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif THMY, Ooi Can Nix berkata pembinaan kilang baharu itu mencerminkan keyakinan kumpulan terhadap prospek jangka panjang industri penyelesaian ujian automatik.
“Ini adalah satu pencapaian penting dalam perjalanan pertumbuhan THMY. Kilang baharu dan pejabat korporat ini mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi jangka panjang industri penyelesaian ujian automatik serta komitmen untuk memperkukuh keupayaan pembuatan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.
“Pelaburan tersebut akan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan keupayaan kejuruteraan THMY, sekali gus meletakkan kumpulan dalam kedudukan lebih baik untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu,” katanya.
Dengan rekod operasi selama 18 tahun, THMY kini mempunyai kehadiran di beberapa negara termasuk Thailand, Amerika Syarikat, China, Singapura dan Taiwan, selain terus memperkukuh kedudukannya dalam rantaian bekalan industri elektronik serantau. - DagangNews.com








