KUALA LUMPUR 9 Julai – "Malaysia sudah tidak percaya Norway."
Kenyataan tegas ini disuarakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempertahankan keputusan kerajaan membekukan semua perolehan dan kontrak melibatkan firma pertahanan negara itu.
Beliau berkata, keputusan ini wajar kerana Norway gagal menunjukkan rasa hormat dengan menarik balik lesen eksport meskipun kontrak dimeterai sejak 2018 dan sebahagian pembayaran sudah dibuat.
Menurutnya, Jemaah Menteri telah meluluskan syor Kementerian Pertahanan supaya semua perolehan aset serta bekalan pertahanan baharu daripada Norway digantung berkuat kuasa serta-merta.
Kata Mohamed Khaled, Kabinet turut meneliti sama ada dasar berkenaan perlu diperluaskan kepada kementerian lain, namun buat masa ini pelaksanaannya hanya melibatkan Kementerian Pertahanan.
"Selepas kontrak sedia ada yang melibatkan Norway tamat, kerajaan mungkin tidak lagi akan berurusan dengan syarikat dari negara itu atau memperbaharui kontrak berkenaan," katanya kepada pemberita.
Semalam, jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan Kabinet bersetuju supaya Kementerian Pertahanan menggantung terus perolehan baharu peralatan dan bekalan pertahanan daripada Norway.

Keputusan serta-merta itu susulan tindakan Norway membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dipasang pada kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Mohamed Khaled berkata, alasan Norway bahawa sistem peluru berpandu itu hanya dibekalkan kepada negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan sekutunya tidak dapat diterima.
"Norway sepatutnya memahami keperluan Malaysia untuk memperkukuh keupayaan pertahanan negara, khususnya dalam melaksanakan rondaan dan menjaga keselamatan di Laut China Selatan," tegasnya.
Pendirian Malaysia disampaikan kepada Timbalan Menteri Luar Norway dan Duta Norway ke Malaysia, sambil menegaskan hubungan dua hala boleh dikukuh berasaskan kepercayaan serta saling menghormati.
Beliau berkata, tindakan itu menjejaskan keyakinan dibina selama ini, dan kerajaan berpandangan pembekuan kontrak baharu merupakan langkah tepat bagi mempertahankan kedaulatan negara. - DagangNews.com








