PK Green Fund tingkatkan pegangan kepada 13.06% dalam Jentayu ketika Projek Oriole hampir ke fasa akhir pembiayaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PK Green Fund tingkatkan pegangan kepada 13.06% dalam Jentayu ketika Projek Oriole hampir ke fasa akhir pembiayaan

Projek Oriole di Sipitang, Sabah
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Julai – PK Green Fund yang berpangkalan di Singapura meningkatkan pegangan sahamnya dalam Jentayu Sustainables Bhd kepada 13.06% ketika syarikat itu sedang memasuki fasa akhir pembiayaan bagi Projek Oriole, sebuah projek hidroelektrik bernilai RM2.8 bilion di Sabah.

 

Langkah dana pelaburan itu menambah kepentingannya dalam Jentayu dilihat mencerminkan keyakinan terhadap prospek jangka panjang syarikat yang kini memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE), khususnya projek hidroelektrik aliran sungai.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Jentayu berkata PK Green Fund kini memiliki 71.1 juta saham atau 13.06% kepentingan dalam syarikat itu, meningkat daripada 49.1 juta saham atau 9.02% selepas memperoleh tambahan 22 juta saham pada 7 Julai lalu.

 

Menurut Jentayu, PK Green Fund memaklumkan pelaburan itu dibuat atas pertimbangan strategik dan bersifat jangka panjang, selain berhasrat menjadi pemegang saham yang menyokong pertumbuhan syarikat.

 

Dana pelaburan tersebut turut menyatakan komitmennya untuk bekerjasama secara konstruktif dengan lembaga pengarah dan pihak pengurusan dalam aspek strategi korporat, tadbir urus serta kelestarian.

 

Fasa Akhir Pembiayaan

Peningkatan pegangan saham itu dibuat ketika Jentayu sedang menghampiri penutupan pembiayaan bagi Projek Oriole, iaitu projek hidroelektrik aliran sungai berkapasiti 162 megawatt (MW) yang dibangunkan di Sipitang menerusi Oriole Hydro Padas Sdn Bhd, anak syarikat yang dimiliki sebanyak 70% oleh syarikat itu.

 

Penutupan pembiayaan merupakan fasa penting dalam pembangunan sesuatu projek kerana ia menunjukkan urusan mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan hampir dimuktamadkan sebelum kerja pembinaan dapat diteruskan sepenuhnya.

 

Projek Oriole turut disokong oleh Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 40 tahun yang dimeterai dengan Sabah Electricity Sdn Bhd sekali gus menyediakan jaminan pembelian tenaga elektrik yang bakal dijana apabila projek itu siap kelak.

 

Apabila beroperasi, projek hidroelektrik tersebut dijangka mampu membekalkan kira-kira 16% daripada permintaan elektrik pada waktu puncak di Sabah yang akan membantu memperkukuh bekalan tenaga di negeri berkenaan.

 

Projek RE Pemacu Utama Pertumbuhan

Projek itu juga selaras dengan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 yang menyasarkan lebih 50% daripada campuran penjanaan elektrik negeri itu datang daripada sumber tenaga boleh diperbaharui menjelang 2035.

 

Jentayu, yang sebelum ini dikenali sebagai Ipmuda Bhd kini memberi tumpuan kepada pembangunan projek RE sebagai pemacu pertumbuhan baharu dengan penekanan kepada projek hidroelektrik aliran sungai.

 

PK Green Fund pula merupakan dana pelaburan yang berpangkalan di Singapura dan memfokuskan pelaburan dalam sektor yang memberi impak positif kepada alam sekitar serta masyarakat, termasuk projek tenaga boleh diperbaharui di negara-negara sedang membangun. 

 

Peningkatan pegangannya dalam Jentayu dilihat mengukuhkan lagi keyakinan pelabur institusi terhadap prospek syarikat itu seiring perkembangan Projek Oriole. - DagangNews.com