Kerajaan kaji semula pelaksanaan e-invois, caruman 2% KWSP pekerja asing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan kaji semula pelaksanaan e-invois, caruman 2% KWSP pekerja asing

Gambar hiasan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Julai – Pelaksanaan e-invois dan caruman 2% Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing berkemungkinan ditangguhkan apabila Kabinet bersetuju menilai semula kedua-dua inisiatif tersebut susulan kebimbangan mengenai kesannya terhadap kos operasi syarikat.

 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak, dengan Kementerian Kewangan akan meneliti semula pelaksanaan kedua-dua dasar sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

 

Menurut beliau, semakan itu dijangka menjurus kepada penangguhan pelaksanaan bagi memberi ruang kepada kerajaan menilai semula kesan terhadap syarikat, khususnya yang masih menyesuaikan operasi dengan perubahan dasar dan peningkatan kos menjalankan perniagaan.

 

Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri mengemukakan cadangan supaya pelaksanaan e-invois dikaji semula dalam mesyuarat Kabinet, manakala cadangan berhubung caruman 2% KWSP bagi pekerja asing turut dipersetujui untuk melalui proses semakan yang sama.

 

“Kerajaan mahu memastikan setiap dasar baharu dilaksanakan secara lebih teratur tanpa membebankan sektor perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan pelbagai cabaran dari segi kos pematuhan dan pengurusan operasi,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan perkenal program pengakuan sukarela e-Invois hingga 31 Disember 2027 - PM Anwar

 

t

 

Perkembangan itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan program pendedahan secara sukarela bagi pelaksanaan e-invois yang membolehkan syarikat membuat pindaan terhadap e-invois yang dikemukakan tanpa dikenakan penalti sehingga 31 Disember 2027.

 

Langkah berkenaan diperkenalkan bagi mengurangkan kos pematuhan dan memberi lebih fleksibiliti kepada syarikat dalam tempoh peralihan ke sistem e-invois yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kategori pembayar cukai.

 

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai persatuan perniagaan turut menggesa kerajaan menilai semula pelaksanaan e-invois dan caruman KWSP pekerja asing dengan alasan kedua-dua langkah itu akan meningkatkan kos operasi ketika syarikat masih berdepan ketidaktentuan ekonomi.

 

Cadangan mewajibkan caruman 2% KWSP bagi pekerja asing sebelum ini turut mencetuskan reaksi daripada majikan, terutama dalam sektor yang bergantung kepada tenaga kerja asing seperti pembinaan, pembuatan, perladangan dan perkhidmatan.

 

Bagaimanapun, setakat ini kerajaan masih belum mengumumkan sebarang perubahan terhadap jadual pelaksanaan kedua-dua dasar berkenaan. Sebaliknya, Kementerian Kewangan dijangka memperincikan hasil semakan itu sebelum keputusan rasmi dibuat. - DagangNews.com