Kos bahan binaan terus mahal pada Jun 2026, harga pasir naik 23.9% beri tekanan sektor pembinaan - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos bahan binaan terus mahal pada Jun 2026, harga pasir naik 23.9% beri tekanan sektor pembinaan - DOSM

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 9 Julai – Kos bahan binaan yang semakin mahal terus memberi tekanan kepada industri pembinaan di Malaysia apabila harga pasir mencatat kenaikan tahunan sehingga 23.9% pada Jun 2026.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), harga secara agregat turut meningkat di kebanyakan negeri meskipun harga untuk keluli dan simen pula ada menunjukkan tanda-tanda semakin stabil.

 

Tambahnya, berdasarkan perbandingan bulanan, indeks harga seunit pasir didapati meningkat di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan kenaikan antara 0.5% hingga 6.4%.

 

"Pulau Pinang, Kedah dan Perlis merekodkan peningkatan bulanan tertinggi sebanyak 6.4%, diikuti Johor naik kira-kira 6.1% dan Kuching di Sarawak adalah 4.3%," kata agensi statistik itu dalam kenyataan.

 

Indeks harga agregat turut bertambah di semua kawasan antara 0.1% hingga 5.6% berbanding Mei 2026, dengan Perak mencatat kenaikan tertinggi sebanyak 5.6%, diikuti Pahang (3.7%) dan Johor (3.5%).

 

Sebaliknya, indeks harga keluli terus mencatat penyusutan bulanan antara 0.1% hingga 1.2% di seluruh negara, dengan Perak merekodkan penurunan terbesar 1.2%, diikuti Sandakan iaitu -0.8%.

 

DOSM-indeks bahan binaan

 

sektor pembinaan_DagangNews2026

 

Dalam tempoh sama jelas DOSM, indeks harga simen menunjukkan bahan binaan tersebut kekal stabil apabila tiada perubahan direkodkan di semua kawasan bagi Jun 2026 berbanding bulan sebelumnya.

 

"Bagaimanapun ujarnya, dari segi perbandingan tahunan, harga bahan binaan masih lagi berada pada paras lebih tinggi berbanding Jun 2025 apabila indeks harga keluli meningkat antara 0.5% hingga 8.6%.

 

Perak tambahnya, mencatat kenaikan tahunan tertinggi harga keluli sebanyak 8.6%, diikuti Johor (6%) dan Pahang (4.8%), manakala harga simen turut naik, dengan paling tinggi di Kuching dan Miri sebanyak 7.5%.

 

DOSM berkata, pasir kekal sebagai bahan binaan yang mencatat peningkatan ketara harga tahunan iaitu antara 1.4% hingga 23.9%, sekali gus menjadi antara faktor utama yang meningkatkan kos pembinaan.

 

Dari segi harga purata, harga keluli susut sedikit 0.3% kepada RM3,507.10 satu tan, manakala harga purata simen biasa turun 0.9% kepada RM25.70 bagi setiap beg 50 kilogram berbanding sebelum ini.

 

"Perkembangan itu menunjukkan walaupun harga keluli dan simen terkawal, peningkatan berterusan harga pasir masih menjadi cabaran utama kepada pemain sektor pembinaan," katanya. - DagangNews.com