TFP Solutions dilantik sebagai penyedia eksklusif sistem pembayaran bagi acara Lee Chong Wei | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TFP Solutions dilantik sebagai penyedia eksklusif sistem pembayaran bagi acara Lee Chong Wei

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Julai – TFP Solutions Bhd menerusi anak syarikat miliknya, Softfac Technology Sdn Bhd dilantik sebagai penyedia eksklusif perkhidmatan kutipan bayaran serta infrastruktur komersial bagi acara bual bicara legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, TFP Solutions berkata Softfac telah memeterai perjanjian kontrak dengan Ploutos bagi mengendalikan perkhidmatan kutipan bayaran eksklusif serta penyediaan infrastruktur komersial untuk acara bertajuk “Beyond Greatness: From Inspiration to Impact”.

 

“Acara tersebut dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 Oktober ini di Ideal Live Arena, Petaling Jaya, dengan menampilkan kisah perjalanan, inspirasi serta pengalaman Datuk Seri Lee Chong Wei sepanjang kerjayanya.

 

“Selain acara berkenaan, perjanjian itu turut merangkumi hak eksklusif Softfac untuk menyediakan perkhidmatan sama bagi acara-acara lain yang dianjurkan oleh Ploutos dalam tempoh satu tahun, termasuk konsert, festival, pertunjukan dan program korporat,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Melalui kerjasama itu, Softfac akan bertanggungjawab menyediakan sistem sokongan komersial termasuk platform jualan tiket, pengurusan transaksi serta sokongan data bagi memastikan perjalanan jualan dan kutipan bayaran berjalan lancar.

 

Softfac turut akan menyediakan modul laporan jualan secara masa nyata serta sokongan pangkalan data berkaitan peruntukan tiket melalui ejen tiket yang dilantik, Fantopia Sdn Bhd.

 

Sementara itu, Ploutos akan terus memainkan peranan sebagai pengurus utama acara dengan mengendalikan aspek seperti logistik lokasi, tempahan artis, pemasaran acara, urusan lesen serta kelulusan pihak berkaitan.

 

Menurut TFP Solutions, pelantikan tersebut membuka peluang kepada Kumpulan untuk membina model pendapatan berulang menerusi penggunaan platform digital, pemprosesan transaksi serta pelaksanaan pelbagai acara pada masa hadapan.

 

“Dengan memperoleh hak eksklusif untuk menyediakan perkhidmatan kutipan bayaran dan platform tiket bagi acara Ploutos, kumpulan akan mewujudkan model pendapatan berulang yang dipacu oleh penggunaan platform, pemprosesan transaksi dan pelaksanaan acara akan datang,” katanya.

 

TFP Solutions berkata perjanjian itu turut membuktikan kebolehan komersial teknologi milik Softfac yang mampu diperluaskan ke dalam sektor hiburan langsung, pengurusan acara dan perdagangan digital yang semakin berkembang. - DagangNews.com