SEPANG 9 Dis – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) buat julung kalinya memperkenalkan kiosk layan diri 'Open Belt Bag-Drop' (OBBD) untuk proses daftar serah bagasi sendiri di kaunter khas.
Menurut Pengurus Besar Kecemerlangan Operasi dan Pengalaman Pelanggan MAHB, Mohammad Azmel Harun Rasheed, sistem itu ada di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini.
Jelasnya, ia merupakan yang pertama seumpamanya di benua Asia dan kedua di dunia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Edinburgh, Scotland, dalam usaha mengurangkan kesesakan penumpang berlepas.

"Empat mesin ini sudah dipasang lebih sebulan lalu sebagai percubaan dan setakat ini kami mendapati ia berjaya memproses tiga kali pantas berbanding cara yang konvensional," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau yang diiringi Pengurus Besar (Operasi) Terminal 2, Shahrunnizam Abd Jamil, membawa kumpulan media meninjau pelbagai pembaharuan yang dilaksanakan MAHB di terminal tersebut.
DagangNews.Com difahamkan, pemasangan OBBD itu hasil idea daripada Global Infrastructure Partners (GIP) yang mempunyai kepentingan dalam MAHB melalui konsortium Gateway Development Alliance (GDA).
Artikel berkaitan: MAHB menganalisis maklum balas sejak 2013 tambah baik imej Terminal 2 KLIA

Firma pelaburan antarabangsa itu terkenal memiliki kepakaran dalam isu pengurusan banyak lapangan terbang yang besar, antaranya Edinburgh sendiri dan Gatwick di London, Britain sejak sekian lama.
"OBBD ini ada penimbang dan penumpang boleh membuat pembayaran bersepadu sebelum bagasi mereka dimasukkan ke kaunter penyerahan yang ada petugas membantu mereka," tambah Mohammad Azmel.
Selain itu, tahap kecekapan daftar masuk turut dipertingkatkan dengan naik taraf Sistem Bagasi Daftar Masuk Sendiri (SSBD) yang kini menggunakan teknologi canggih melibatkan sejumlah 14 kaunter lagi.

Penumpang jelas beliau, boleh mengimbas beg secara automatik dan cepat tanpa bantuan staf seperti di Terminal 1, dan usaha ini antara penambahbaikan menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Langkah itu kata Mohammad Azmel, bukan sahaja melibatkan teknologi, tetapi akses dan keselesaan fizikal, bagi meningkatkan kecekapan dan keselamatan penumpang termasuk mereka yang hanya transit.
"Ini termasuk penggantian sebanyak 7,500 troli bagasi baharu dilengkapi brek roda terbina dalam, sesuai digunakan pada laluan 'travelator' yang condong, selain peningkatan imej Calm Room," jelasnya.

Ia sebahagian inisiatif 'Butterfly Effect' sebagai ruang tenang penumpang dengan ketidakupayaan tersembunyi, serta penambahbaikan papan tanda arah lebih jelas di kawasan daftar masuk terminal.
Sementara itu, Pengurus Kanan Bahagian Perkhidmatan Terminal 2 KLIA, Muhammad Syukree Basyeer Abdul Karim berkata, MAHB turut fokus dalam meningkatkan kemudahan yang bersifat inklusif.
Justeru, sebanyak 50 kerusi roda kini disediakan percuma di lokasi utama terminal untuk memudahkan pergerakan penumpang yang memerlukan bantuan, di samping perkhidmatan 'buggy' tambahan percuma.

"Sejumlah 150 unit 'stroller' kanak-kanak layan diri percuma juga disediakan untuk penumpang sejak September 2025 di zon perlepasan dan ketibaan, selain 10 tandas wanita dibaik pulih," katanya.
Pada masa sama kata Muhammad Syukree, 24 daripada 40 surau menerima suasana baharu, permaidani dan pencahayaan yang lebih baik, manakala keselesaan ruang di Pintu P dan Q pula dipertingkatkan.
Bagi menyokong TMM 2026, Terminal 2 bekerjasama dengan Kraftangan Malaysia mempamerkan warisan budaya, menerusi Pameran Kebaya, yang menampilkan koleksi batik, songket, dan tekstil tenunan.

MAHB juga memperkenalkan perkhidmatan tindak balas kecemasan pantas baharu, iaitu Paramedik E-Scooter, dengan dua paramedik ditempatkan di 'Satellite Centre Hub' dan laluan ke Pintu Domestik.
"Setiap skuter berkenaan dilengkapi dengan tangki oksigen, beg trauma, dan mesin 'automated external defibrillator' (AED) untuk mengurangkan lagi masa tindak balas kecemasan," jelas Muhammad Syukree.
Inisiatif menyeluruh ini memperkukuhkan hasrat MAHB mengubah persepsi Terminal 2 bukan terminal kos rendah, tetapi sebuah terminal antarabangsa dengan standard setanding Terminal 1. - DagangNews.com








