MAHB menganalisis maklum balas sejak 2013 tambah baik imej Terminal 2 KLIA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAHB menganalisis maklum balas sejak 2013 tambah baik imej Terminal 2 KLIA

SHAHRUNNIZAM Abd Jamil bergambar di hadapan pintu masuk dewan perlepasan Terminal 2 KLIA Sepang, Selangor. - DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus Aziz
Oleh Amree Ahmad

SEPANG 9 Dis – Perubahan imej secara besar-besar yang dilaksanakan berterusan di seluruh Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini pada ketika ini bukanlah perkara baharu.


Malah, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melakukan analisis secara teliti data maklum balas pengguna terutamanya penumpang sebelum operasi terminal itu bermula pada 2 Mei 2014.


Perkara itu didedahkan oleh Pengurus Besar (Operasi) Terminal 2, Shahrunnizam Abd Jamil ketika ditemui DagangNews.Com apabila ditanya usaha penambahbaikan bangunan berkenaan lebih sedekad lalu.


"Saya difahamkan perkara ini dilakukan sejak 2013 semasa era Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) lagi, sebelum berpindah ke tapak baharu dikenali 'klia2' iaitu nama asal Terminal 2," katanya.


Artikel berkaitan: Terminal 2 KLIA perkenal 4 kiosk layan diri 'Open belt bag-drop', kedua di dunia selepas Edinburgh
 

MAHB
SUASANA sibuk penumpang beratur di Dewan Perlepasan Antarabangsa di Terminal 2 KLIA Sepang, Selangor. - DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus Aziz


Beliau menambah, pada masa tersebut, semua maklumat itu adalah berselerak kerana diterima pelbagai bahagian berbeza termasuk daripada laporan media tempatan dan terpaksa dikumpulkan secara manual.


Shahrunnizam berkata, selepas itu maklumat berkenaan diagihkan mengikut jenis dan fasiliti sasaran untuk dianalisis dengan teliti sebelum tindakan susulan dapat diambil kemudiannya oleh MA (Sepang) Sdn Bhd.


Jelasnya, semasa era itu belum ada teknologi kecerdasan buatan (AI), namun mujur Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Badlisham Ghazali ketika itu amat mementingkan laporan disokong data terkini. 


"Kebetulan, beliau sebelum itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Multimedia Development Corporation (MDeC), maka semua hasil kajian yang dibentangkan MAHB perlu ada bukti berasaskan data terkini," katanya.
 

MAHB
PENUMPANG menikmati pengalaman yang lebih baik apabila berlepas atau mendarat Terminal 2 KLIA Sepang, Selangor. - DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus Aziz


Meskipun individu berkenaan sudah bersara pada 2018, amalan penyelidikan data jelas Shahrunnizam, tetap masih diteruskan dengan kemudian lebih mudah dan pantas dibantu AI bagi analisis yang tepat.


Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan kos ditanggung, tetapi mengakui ia tidak sebesar Terminal 1 yang sebelum ini dilaporkan mencecah RM30 juta dan antara sebahagian usaha Pelan Induk KLIA 2030.


Kerja-kerja penambahbaikan pula dilakukan MA (Sepang) selaku anak syarikat MAHB bertanggungjawab terhadap pengurusan Terminal 2, dan secara berperingkat bagi meminimumkan gangguan operasi harian.


"Kesemua kemudahan ini dalam keadaan siap sedia, terutamanya selaras usaha kami bagi menyokong agenda pelancongan negara kita bersempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026," jelas Shahrunnizam.
 

MAHB
PENAMBAHBAIKAN di Terminal 2 KLIA Sepang, Selangor dilaksanakan secara berterusan atas pandangan penumpang dan pelbagai pihak. - DagangNews.Com / Mohd Naim Firdaus Aziz


Pihaknya bekerjasama rapat dengan Tourism Malaysia termasuk mempersembahkan budaya Malaysia dan mempamerkan makanan unik negara ini sebagai daya tarikan utama di keseluruhan terminal tersebut.


Selain itu, usaha mencantikkan kawasan sekitar juga dilaksanakan dengan Jabatan Landskap Negara serta pemasangan papan tanda besar 'Selamat Datang ke Malaysia' di kawasan persimpangan KLIA.


Pada masa sama, Shahrunnizam menegaskan yang Terminal 2 bukan lagi bertaraf terminal kos murah, walaupun digunakan banyak syarikat penerbangan tambang rendah terutama AirAsia dan AirAsia X.


"Kemudahan dan infrastrukturnya adalah setara dengan piawaian Terminal 1, bahkan kini menyambut penerbangan perkhidmatan penuh dan mempunyai sistem pengendalian bagasi yang amat baik," katanya.


Perubahan itu jelas beliau, bertujuan menukar perspektif awam yang ia bukan seperti LCCT, sebaliknya adalah terminal antarabangsa dengan standard yang sama seperti Terminal 1. - DagangNews.com