KUALA TERENGGANU 21 Nov – Kebanyakan pengusaha inap desa di Terengganu kini menawarkan diskaun tempahan sehingga 20% bagi menarik kedatangan pengunjung pada musim tengkujuh.
Rata-rata pengusaha inap desa mengakui tempahan agak merosot sejak pertengahan bulan ini namun tempahan meningkat sebaik sahaja musim cuti persekolahan bermula pada Disember depan.
Seorang pengusaha, Juliana Hassan, 45 berkata, kebiasaannya, tempahan menurun 50% pada musim tengkujuh kerana pelancong mengambil pendekatan berhati-hati dengan risiko banjir yang melanda.
“Itu lumrah setiap kali musim tengkujuh namun sebagai pengusaha, kita perlu kreatif mencari cara untuk meningkatkan tempahan.
“Harga promosi yang ditawarkan itu saya hebahkan di media sosial dan mendapat maklum balas yang agak positif setakat ini,” katanya ketika dihubungi DagangNews.com.
Beliau mengendalikan hampir 30 unit inap desa pelbagai kategori termasuk banglo, villa, pangsapuri, chalet, rumah teres semi D dan bilik penginapan sejak 10 tahun lalu.
Baru-baru ini, MET Malaysia mengeluarkan amaran banjir melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) yang menyebabkan beberapa Kawasan rendah dan berhampiran pinggir sungai berpotensi dinaiki air.
Bagi pemilik Ombak Kapas Island Beach Resort, Hawa Abd Rahman berkata, hanya 10% chalet miliknya beroperasi pada musim tengkujuh kali ini untuk memenuhi permintaan pengunjung.
“Ada beberapa peminat sukan ekstrem luncur ombak yang memang gemar berkunjung ke Pulau Kapas setiap kali musim tengkujuh dan kami sentiasa terbuka untuk menerima kedatangan mereka.
“Namun, faktor keselamatan tetap diutamakan terutamanya ketika perjalanan menaiki bot keluar masuk ke pulau peranginan ini.
“Kami memastikan sentiasa berwaspada dengan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin,” katanya.
Beberapa pengunjung ditemui DagangNews.com pula berkata, mereka tidak bimbang untuk melancong ke Terengganu kerana telah memilih destinasi yang sesuai dan tidak akan terkesan dengan banjir.
Kakitangan awam, Fariha Jamaludin, 39 berkata, lokasi tumpuan seperti Pasar Payang, Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan pusat pengeluaran batik tradisional masih tetap beroperasi seperti biasa sepanjang musim tengkujuh.
“Lagipun terlalu banyak tarikan lain yang boleh dikunjungi terutama lokasi yang menjual makanan dan minuman terkenal, cuma yang penting kita sentiasa berwaspada sepanjang percutian,” katanya.- DagangNews.com








