Tekanan kos operasi, jualan perlahan pada 6MFY26 berisiko jejaskan Yoong Onn - Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tekanan kos operasi, jualan perlahan pada 6MFY26 berisiko jejaskan Yoong Onn - Mercury Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Feb — Prestasi kewangan Yoong Onn Corporation Berhad bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2026 berada di bawah jangkaan pasaran, menurut Mercury Securities Research.


Perkembangan lemah dicatatkan kumpulan berkenaan susulan tekanan kos operasi yang tinggi serta pertumbuhan jualan domestik dan eksport perlahan sepanjang tempoh separuh pertama FY26.


Justeru, firma penyelidikan itu menurunkan penarafan saham syarikat tersebut kepada 'pegang' daripada 'beli', selain menyemak harga sasaran (TP) kepada RM1.62 berbanding RM1.92 sebelum ini.


"Penilaian semula ini sejajar dengan pemotongan unjuran keuntungan Yoong Onn bagi FY26 dan FY27, berikutan keuntungan teras 6MFY26 cuma meliputi 43% daripada anggaran," kata Mercury Securities. 


Situasi berkenaan tambah firma itu, dipacu oleh pertumbuhan hasil yang sederhana pada 1.3% tahun ke tahun (YoY) serta peningkatan secara ketara perbelanjaan operasi semasa tempoh berkenaan.


Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) pula susut 15.3%, meskipun kadar cukai efektif lebih rendah, akibat penurunan perolehan kasar dan kos kewangan yang lebih tinggi.


Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut mengecil kepada 17.5%, manakala margin kasar pula merosot kepada 10.6%, mencerminkan tekanan kos yang berterusan.


"Dari segi segmen, perniagaan pengedaran Yoong Onn mencatat pertumbuhan hasil 4.4%, dan pembuatan naik 3.3%, tetapi peruncitan menyaksikan penyusutan iaitu 1.9%," tambah Mercury Securities lagi.


Bagaimanapun, firma berkenaan menjelaskan yang keadaan berkenaan adalah masih selari dengan permintaan pengguna lebih berhati-hati, khususnya di pasaran eksport dalam situasi tidak menentu.


Bagi suku tahunan, prestasi 2QFY26 menunjukkan pemulihan sederhana dengan hasil naik 10.3% suku ke suku (QoQ), disokong permintaan musim perayaan serta jualan runcit dan dalam talian yang kukuh.


Melangkah ke hadapan, Mercury Securities menjangkakan prestasi suku ketiga Yooong Onn pada FY26  bertambah baik, sejajar dengan corak bermusim dan tekanan inflasi yang diunjur semakin reda.


"Kami namun kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan pemulihan ekonomi global yang boleh mengekang kadar pertumbuhan Yoong Onn untuk kedua-dua pasaran domestik dan eksport," kata firma tersebut.


Sebagai potensi pemangkin, kumpulan itu sudah mengemukakan tuntutan insurans interim berjumlah RM23.7 juta, yang berpotensi menyumbang pendapatan lain kira-kira RM18 juta selepas cukai.


Dari sudut pelaburan, Mercury Securities masih menilai Yoong Onn secara berhati-hati positif berikutan kedudukannya sebagai antara pengeluar dan pengedar tekstil rumah terbesar negara.


Kumpulan ini ada rangkaian runcit serta e-dagang yang luas, tetapi risiko kelembapan perbelanjaan pengguna, kos bahan mentah, persaingan sengit dan mata wang membayangi prospek jangka pendek. - DagangNews.com