KUALA LUMPUR 18 Sept – Taghill Holdings Bhd sebelum ini dikenali sebagai Siab Holdings Bhd, menang dalam prosiding adjudikasi melalui anak syarikat milik penuhnya, Taghill Projects Sdn Bhd, terhadap pemaju hartanah Dreamlike Development Sdn Bhd berhubung tunggakan bayaran kerja pembinaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Taghill Holdings memaklumkan keputusan adjudikator yang diterima pada 17 September telah memihak kepada syarikat, dengan Dreamlike Development diperintahkan membayar sebanyak RM3.08 juta bagi baki kerja-kerja pembinaan yang telah disiapkan di bawah kontrak, serta RM88,830 sebagai kos adjudikasi, dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan.
Walau bagaimanapun, tuntutan Taghill Projects bagi bayaran faedah kontraktual atau faedah lewat berjumlah RM836,307 ditolak oleh adjudikator.
ARTIKEL BERKAITAN: Taghill Holdings tuntut bayaran tertunggak RM4.91 juta daripada Dreamlike Development
Dalam masa sama, cubaan Dreamlike Development untuk membuat tuntutan balas terhadap kerja didakwa cacat dan laporan ketidakpatuhan turut ditolak sepenuhnya.
Projek RM48.4 juta siap dan diserah pada Mac 2023
Pertikaian ini berpunca daripada pelantikan Taghill Projects sebagai kontraktor utama bagi projek pangsapuri servis 22 tingkat, The Horizon @ Fair Park di Ipoh, Perak, melalui surat anugerah bernilai RM48.4 juta yang bertarikh 27 Disember 2019.
Menurut syarikat, kerja-kerja pembinaan termasuk arahan variasi telah disempurnakan tanpa sebarang aduan dan diserahkan secara rasmi kepada pihak pemaju pada Mac 2023.
Susulan kelewatan bayaran, Taghill Projects telah memfailkan tuntutan bayaran berjumlah RM4.91 juta pada 13 Mac lalu di bawah Akta Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA 2012), meliputi kerja-kerja yang telah disahkan dan belum disahkan. Proses seterusnya diteruskan melalui adjudikasi hingga keputusan diperoleh.
Taghill Holdings menjelaskan keputusan adjudikasi ini dijangka tidak memberi kesan material kepada pendapatan, aliran tunai atau operasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026.
Saham Taghill Holdings ditutup tidak berubah pada enam sen pada Khamis, dengan permodalan pasaran sebanyak RM93.37 juta. - DagangNews.com








