KUALA LUMPUR 14 Mac - Taghill Holdings Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Siab Holdings Bhd, mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah syarikat pemaju untuk mendapatkan pembayaran tertunggak sebanyak RM4.91 juta.
Taghill Holdings berkata, anak syarikat milik penuhnya, Taghill Projects Sdn Bhd, telah mengemukakan tuntutan pembayaran kepada Dreamlike Development Sdn Bhd di bawah Akta Pembayaran dan Penilaian Industri Pembinaan 2012.
"Taghill Projects dilantik sebagai kontraktor utama oleh Dreamlike Development pada Disember 2019 untuk membina sebuah apartmen servis 22 tingkat di Ipoh dengan kos RM48.4 juta.
"Semua kerja telah disiapkan tanpa sebarang aduan dan diserahkan secara rasmi pada Mac 2023," kata syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia.
Taghill Holdings menambah, selain daripada tuntutan yang belum dibayar, perkara itu dijangka tidak memberi kesan besar terhadap kewangan atau operasi kumpulan. - DagangNews.com








