TA Securities saran 'jual' Velesto susulan kontrak penggerudian NAGA 2 lebih rendah daripada jangkaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities saran 'jual' Velesto susulan kontrak penggerudian NAGA 2 lebih rendah daripada jangkaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Mac – Kadar sewaan harian (DCR) lebih rendah daripada jangkaan menjadi isu kritikal di sebalik Velesto Energy Berhad meraih tender penggerudian daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd.


Menurut TA Securities, kontrak berkenaan hanya bernilai AS$157 juta (kira-kira RM616 juta) bagi operasi pelantar jack-up NAGA 2 milik kumpulan itu untuk tempoh lima tahun mulai Februari 2026.


Firma penyelidikan tersebut berkata, walaupun tender itu meningkatkan keterlihatan tempahan hingga 2030, kadar tersirat AS$87,000 (RM343,587) sehari adalah di bawah unjuran terdahulu pihaknya.


"Kami menjangka sebanyak AS$110,000 (R434,421) sehari, namun kadar dimeterai lebih konservatif, dan mencerminkan strategi pengurusan untuk mengutamakan tempoh kontrak lebih panjang," jelasnya.


Langkah Velesto itu tambah TA Securities dalam notanya, dilihat sebagai usaha strategi bagi kumpulan menjamin kestabilan pendapatan berbanding memaksimumkan kadar semasa secara jangka pendek.


Pelantar NAGA 2 katanya, dengan keupayaan operasi kedalaman air sehingga 107 meter dan kedalaman penggerudian 9,144 meter, dijangka mencatat kadar penggunaan melebihi 90% sepanjang tempoh kontrak.

 

Artikel berkaitan: Velesto raih kontrak penggerudian 5 tahun bernilai RM616 juta daripada PETRONAS libatkan pelantar NAGA 2


Situasi kali ini merupakan peningkatan ketara berbanding purata sejarah sekitar 70%, sekali gus mengurangkan risiko masa tidak beroperasi serta memperkukuh aliran tunai berulang sehingga 2030.


“Peningkatan tahap penggunaan dan tempoh kontrak Velesto yang lebih panjang dijangka berupaya dalam mengimbangi sebahagian impak kadar sewaan rendah sepanjang tempoh operasi,” jelas TA Securities.


Bagaimanapun, firma itu menyemak turun unjuran keuntungan bagi FY26, FY27 dan FY28 masing-masing 9.3%, 8.0% dan 11.5% bagi mencerminkan DCR yang lebih rendah daripada jangkaan awal.


Sehubungan itu katanya, harga sasaran (TP) sesaham turut diturunkan kepada 26 sen berbanding 28 sen sebelum ini, berdasarkan penilaian sebanyak 8.5 kali pendapatan sesaham (EPS) unjuran FY26.


TA Securities juga mengekalkan saranan ‘jual’ terhadap saham Velesto, dan berpandangan walaupun keterlihatan pendapatan bertambah baik, potensi kenaikan dinilai masih terhad. - DagangNews.com