TA Securities naikkan 8.9% unjuran hasil Steel Hawk bagi FY26 susulan kejayaan tender baharu TNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities naikkan 8.9% unjuran hasil Steel Hawk bagi FY26 susulan kejayaan tender baharu TNB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 FebTA Securities menaikkan unjuran pendapatan Steel Hawk Berhad sebanyak 8.9% bagi tahun kewangan 2026 (FY26) susulan kejayaan kumpulan tersebut memperoleh tender baharu.


Menurut firma penyelidikan tersebut, kontrak infrastruktur elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM41.3 juta itu, meningkatkan keterlihatan pendapatan bagi dua tahun akan datang.


"Justeru, kami mengekalkan saranan 'beli', selain menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada 41 sen daripada 37 sen, sejajar dengan semakan naik unjuran hasil," katanya dalam nota hari ini.


Kontrak tersebut tambah TA Securities, diperoleh melalui anak syarikat milik penuh Steel Hawk pada 28 Januari 2026 bagi kerja-kerja infrastruktur elektrik TNB di zon pengagihan Perak dan Pahang.


Skop projek merangkumi kabel bawah tanah, serta pembinaan dan naik taraf pencawang, dengan tempoh pelaksanaan antara sembilan bulan hingga dua tahun, yang dijangka siap menjelang Januari 2028.


Firma berkenaan menambah, perolehan kontrak baharu itu meningkatkan buku tempahan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pentauliahan (EPCC) kumpulan kepada RM232.1 juta daripada RM190.8 juta.


Artikel berkaitan: Steel Hawk raih empat subkontrak TNB daripada Ibrahim & Sons bernilai RM41.34 juta


"Pertambahan kerja-kerja TNB tersebut sekali gus berjaya mengukuhkan lagi jaminan keterlihatan pendapatan Steel Hawk dalam tempoh dua tahun iaitu dari FY26 hingga FY27," jelas TA Securities.


Di samping itu kata firma penyelidikan berkenaan, kontrak ini dijangka mencatatkan margin kasar sekitar 20% hingga 30% dan margin bersih kira-kira 10%, sejajar dengan projek EPCC yang sedia ada.


TA Securities turut menyemak naik unjuran pendapatan bagi FY27 sebanyak 2.5%, yang mengambil kira pengiktirafan progresif nilai kontrak, sambil menegaskan aliran kontrak stabil kumpulan tersebut.


Keadaan berkenaan jelasnya, menyokong strategi kepelbagaian perniagaan Steel Hawk di luar segmen minyak dan gas (O&G), apabila terlibat dalam tender berkaitan prasarana bekalan elektrik pula.


"TP kali ini ditentukan berdasarkan 8.5 kali keuntungan saham (EPS) bagi FY26, termasuk premium amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 3%," katanya. - DagangNews.com