Steel Hawk raih empat subkontrak TNB daripada Ibrahim & Sons bernilai RM41.34 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Steel Hawk raih empat subkontrak TNB daripada Ibrahim & Sons bernilai RM41.34 juta

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 30 Jan – Steel Hawk Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB) memperoleh empat subkontrak bernilai keseluruhan RM41.34 juta daripada Ibrahim & Sons Engineering Sdn Bhd (IBSE), melibatkan kerja-kerja infrastruktur elektrik untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Steel Hawk berkata SHESB telah menerima surat-surat anugerah bertarikh 28 Januari 2026, merangkumi pemasangan, pengujian dan pentauliahan kabel bawah tanah aluminium XLPE 33kV dan 11kV, selain kerja-kerja pembinaan serta penaiktarafan pencawang elektrik.

 

Kontrak pertama bernilai RM22.69 juta melibatkan pemasangan kabel bawah tanah aluminium XLPE 33kV bagi pembangunan aset di zon Utara (Perak), manakala kontrak kedua bernilai RM12.11 juta melibatkan kerja-kerja kabel bawah tanah aluminium XLPE 11kV di semua zon rangkaian pengagihan TNB.

 

Selain itu, SHESB turut dianugerahkan kontrak bernilai RM4.4 juta bagi mereka bentuk dan membina bangunan dua tingkat Pencawang Pembahagian Utama (PPU) 33/11kV di Kuantan, Pahang, serta satu lagi kontrak bernilai RM2.14 juta bagi kerja-kerja menaik taraf dan pembinaan bangunan tambahan di Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Kuala Lipis, Pahang.

 

Tempoh pelaksanaan bagi kesemua kontrak adalah antara sembilan bulan sehingga dua tahun, bermula Januari 2026 sehingga Januari 2028.

 

Menurut Steel Hawk, kontrak-kontrak tersebut tidak memberi kesan ke atas modal saham atau struktur pegangan saham syarikat dan tidak dijangka mempunyai kesan material ke atas aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Bagaimanapun, kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan semasa dan seterusnya, selari dengan kepakaran sedia ada syarikat dalam kerja-kerja kejuruteraan dan infrastruktur elektrik.

 

Lembaga Pengarah turut menyatakan bahawa kontrak-kontrak tersebut adalah dalam urusan perniagaan biasa dan tidak mendedahkan syarikat kepada sebarang risiko baharu yang ketara.

 

Tiada pengarah atau pemegang saham utama Steel Hawk mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak-kontrak berkenaan. - DagangNews.com