KUALA LUMPUR 4 Mac – Syarikat peruncitan Thailand, CP Axtra Public Company Ltd akan mengambil alih The Food Purveyor pada harga RM1.7 bilion daripada firma ekuiti persendirian Navis Capital Partners.
The Food Purveyor mengendalikan beberapa rangkaian pasar raya premium termasuk Village Grocer dan Ben's Independent Grocer (B.I.G.) selain memiliki BSC Fine Foods, Pasaraya OTK dan The Food Merchant.
Dalam makluman kepada Bursa Saham Thailand, CP Axtra berkata cadangan pengambilalihan itu dijangka dimuktamadkan pada suku keempat 2026.
“Bagaimanapun, pihak-pihak terlibat sedang dalam proses memenuhi syarat terdahulu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian jual beli saham, termasuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan,” katanya.
CP Axtra merupakan unit peruncitan di bawah konglomerat multinasional Thailand, Charoen Pokphand Group atau CP Group yang giat memperluaskan kehadirannya di Asia Tenggara ketika sentimen pengguna di pasaran domestiknya berdepan kelembapan.
Di Malaysia, CP Group sudah mempunyai kehadiran kukuh dalam segmen runcit menerusi Lotus's Malaysia, yang sebelum ini dikenali sebagai Tesco Malaysia selepas diambil alih pada 2020.
Menurut laporan, beberapa pemilik dan pengendali pusat beli-belah tempatan telah dimaklumkan mengenai urus niaga tersebut oleh pihak The Food Purveyor.
Ketika ini, dua rangkaian pasar raya premium terbesar di Malaysia ialah Village Grocer dan Jaya Grocer.
Pada 2022, syarikat e-hailing dan penghantaran terbesar Asia Tenggara, Grab Holdings Ltd, mengambil alih pegangan majoriti dalam Jaya Grocer Holdings Sdn Bhd dalam urus niaga yang dilaporkan bernilai sehingga RM1.8 bilion.
Pengambilalihan terbaharu ini dijangka mengukuhkan lagi persaingan dalam segmen pasar raya premium tempatan, khususnya dalam kalangan pengguna bandar berpendapatan sederhana dan tinggi. - DagangNews.com








