KUALA LUMPUR 9 April - Syarikat keselamatan siber, LGMS Bhd merancang untuk membeli pegangan saham dalam Antarex Holdings Sdn Bhd sebagai sebahagian daripada strateginya untuk mengukuhkan kehadiran di rantau Asia Tenggara.
Antarex dikenali dengan penawaran platform keselamatan siber berteknologi tinggi seperti XNI (Extended Network Intelligence), DarkShield, dan XOR (Extended Operations and Response) yang menyediakan pengesanan ancaman secara masa nyata dan tindak balas automatik.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia pada hari ini, LGMS berkata, ia telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Antarex dan dua pemegang saham utama syarikat itu, Tan Soon Huat dan Tan Pek Loon.
Cadangan pengambilalihan itu masih di peringkat awal dan tertakluk kepada terma akhir serta rundingan yang sedang dijalankan. Harga dan jumlah pegangan masih belum dimuktamadkan.
Menurut LGMS, kerjasama itu bakal memanfaatkan rangkaian pasaran Antarex di peringkat serantau bagi memperluaskan penggunaan produk miliknya, StarSentry, kepada lebih banyak pelanggan korporat.
"Antarex juga akan mendapat manfaat melalui integrasi StarSentry ke dalam penyelesaian keselamatan siber sedia ada mereka," kata LGMS dalam satu kenyataan.
StarSentry, yang dilancarkan pada Jun 2024 merupakan peranti keselamatan 'plug-and-play' yang mampu mengimbas kelemahan dan ancaman rangkaian secara automatik dalam masa nyata.
Kedua-dua syarikat turut akan meneroka potensi pembangunan produk bersama dan peluang jualan silang di pasaran tempatan serta serantau. Sekiranya dimuktamadkan, pengambilalihan itu akan dirasmikan melalui perjanjian penjualan saham dalam tempoh enam bulan.- DagangNews.com








