KUALA LUMPUR 14 Nov – Swift Haulage Bhd (Swift), penyedia logistik bersepadu negara, melaporkan prestasi kewangan suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3Q25) yang berada dalam jangkaan penganalisis, namun syarikat terus berdepan risiko pelaksanaan ketika meluaskan operasi ke tahun hadapan, menurut Maybank IB.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025 (9M25), keuntungan bersih teras (CNP) syarikat berjumlah RM18 juta, masing-masing mewakili 54% dan 58% daripada unjuran tahun penuh firma penyelidikan dan konsensus.
Lazimnya, Swift mencatatkan prestasi lebih kukuh pada suku keempat berikutan permintaan logistik bermusim yang lebih tinggi.
"Oleh itu Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan, harga sasaran RM0.41, serta saranan “HOLD” terhadap saham Swift," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Maybank IB berkata, walaupun pendapatan kumpulan meningkat 8% kepada RM578.9 juta, CNP 9M25 susut 12% tahun ke tahun, dipengaruhi margin EBIT lebih lemah dan kadar cukai efektif lebih tinggi.
Segmen Container Haulage (CH) mencatat penurunan EBIT sebanyak 12%, didorong gangguan operasi melibatkan penutupan loji PCHEM pada separuh pertama 2025 serta satu lagi fasiliti pelanggan utama di Melaka, yang dijangka kekal ditutup bagi tempoh 3 hingga 4 suku lagi.
Segmen Land Transport (LT) pula merekodkan kejatuhan EBIT lebih besar, susut 35% berikutan peralihan kepada perjalanan jarak dekat yang menawarkan margin lebih rendah.
EBIT Warehouse & Container Depot (W&CD) merosot 9%, manakala satu-satunya segmen yang mencatat peningkatan kukuh ialah Freight Forwarding (FF), melonjak 52% disokong permintaan kargo projek serta sumbangan Aman Logistiks yang diambil alih pada Ogos 2024.
Secara suku-ke-suku, CNP 3Q25 menyusut 5% kepada RM5.2 juta meskipun pendapatan meningkat 5% kepada RM201 juta, mencerminkan tekanan margin pada kebanyakan segmen.
Tiada dividen diumumkan bagi suku berkenaan, menjadikan nisbah pembayaran dividen 9M25 sebanyak 33%, hampir selaras unjuran tahun penuh sebanyak 35%.
Swift kekal optimis mengenai prospek 2026 apabila projek GVL (Gross Vehicle Logistics) dijangka mula beroperasi pada 1Q26, selain jangkaan pemulihan sentimen perdagangan global.
Bagi memperkukuh kapasiti logistiknya, syarikat telah memperuntukkan lebih RM50 juta capex bagi pembangunan gudang baharu di Tebrau pada FY26 bagi memenuhi permintaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
Sebuah lagi kemudahan gudang di Pulau Pinang dijangka memulakan pembinaan menjelang akhir 2026.
Namun begitu, Maybank IB mengingatkan volatiliti margin, kenaikan kos overhed, dan persaingan harga terus menjadi faktor risiko utama kepada prestasi syarikat. - DagangNews.com








