Sunway Property sasar jualan RM4.2 bilion pada FY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Property sasar jualan RM4.2 bilion pada FY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Feb – Sunway Property, anak syarikat hartanah Sunway Group, menyasarkan jualan sebanyak RM4.2 bilion pada 2026, selepas mencatat rekod RM3.8 bilion pada 2025.

 

Sasaran ini disokong oleh deretan pelancaran projek bernilai RM4.8 bilion di Malaysia dan pasaran serantau utama.

 

Pencapaian 2025 melepasi sasaran asal RM3.6 bilion dan mencatat pertumbuhan berterusan dari RM3 bilion pada 2024 serta RM2.4 bilion pada 2023.

 

Momentum ini mencerminkan keyakinan pembeli, pelaksanaan yang teratur dan permintaan kukuh untuk pembangunan bersepadu yang terletak di lokasi strategik.

 

Pengarah Urusan Sunway Property, Chung Soo Kiong berkata prestasi 2025 membuktikan kepercayaan pembeli terhadap kemampuan syarikat untuk membangunkan projek kediaman yang menyediakan pelbagai kemudahan mesra komuniti.

 

“Sunway Property menyasarkan projek yang selaras dengan fasa transformasi Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-13, pelaburan infrastruktur besar dan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura. 

 

“Pendekatan ini memfokuskan pembangunan berorientasikan transit, komuniti bersepadu, serta nilai jangka panjang bagi pemilik rumah dan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Data daripada Knight Frank Malaysia menunjukkan 61.4 peratus transaksi hartanah pada separuh kedua 2025 adalah untuk hartanah kediaman. Pembeli menekankan lokasi strategik, kualiti dan nilai jangka panjang, dengan tumpuan permintaan di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

 

Sementara itu, trafik digital Sunway Property mencatat lebih 93 peratus daripada pasaran tempatan dan antarabangsa, termasuk Singapura dan China. Ini diterjemahkan ke dalam peningkatan pembelian oleh pembeli antarabangsa, daripada 6 peratus pada 2023 kepada 15 peratus pada 2025.

 

Di Johor, Sunway Property akan melancarkan fasa kedua Sunway Sakura di Sunway City Iskandar Puteri, termasuk rumah semi-D, serviced apartments dan linked houses, berserta komponen gaya hidup seperti Jeffrey Cheah Circuit dan Sunway Puteri Hills. Projek transit berdekatan Bukit Chagar RTS juga akan memperkenalkan menara kediaman pertama.

 

Di Lembah Klang, pelancaran fasa kedua Sunway Serene 2 dan Tower C Sunway Velocity 3 akan menyasarkan pembeli keluarga dan penduduk bandar, manakala Jeffrey Cheah Performing Arts Centre dijangka siap pada 2026, memperkukuh pengalaman gaya hidup bersepadu di Sunway City Kuala Lumpur.

 

Beliau berkata di Pulau Pinang dan Ipoh, Sunway Property akan memperkenalkan komponen runcit dan pangsapuri di Sunway Wellesley, serta menamatkan fasa kediaman rumah di atas tanah di Sunway Bayu, Ipoh. 

 

“Sunway Ipoh Mall dijangka siap pada 2027, menyokong kematangan dan daya tarikan jangka panjang di kawasan perbandaran itu.

 

“Di peringkat antarabangsa, Sunway Property merancang pelancaran Pinery Residences di Singapura, manakala di China, satu blok kondominium baharu akan diperkenalkan di Sunway Gardens. 

 

“Syarikat turut menilai semula peluang untuk masuk ke pasaran Kemboja secara strategik,” katanya.

 

Selain pembangunan kediaman dan bersepadu, Sunway Property memfokuskan pembangunan TOD dan hartanah industri. Projek besar termasuk Bukit Chagar RTS TOD bernilai RM4 bilion dan Seremban Sentral TOD bernilai RM2 bilion, selari dengan strategi membangunkan komuniti berpenduduk tinggi di kawasan berhampiran pengangkutan awam.- DagangNews.com