Sunway Healthcare sasar pengembangan agresif menjelang disenaraikan 18 Mac, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway Healthcare sasar pengembangan agresif menjelang disenaraikan 18 Mac, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Mac – Penilaian Sunway Healthcare Holdings Berhad yang berada pada paras premium berbanding rakan setara industri menjadi tumpuan utama penganalisis menjelang penyenaraiannya.


Dua firma penyelidikan, menampilkan pandangan positif terhadap trajektori pertumbuhan kumpulan tersebut, namun dengan penekanan berbeza terhadap justifikasi penilaian dan risiko pelaksanaan.


Mereka melihat langkah syarikat itu diniagakan di Pasaran Utama Bursa Malaysia mulai 18 Mac 2026, adalah positif ketika situasi prospek pertumbuhan sektor penjagaan kesihatan swasta kekal kukuh.


Menurut PublicInvest, Sunway Healthcare memasuki fasa pengembangan, disokong oleh kedudukan sebagai antara kumpulan hospital swasta terbesar di Malaysia dan strategi perluasan kapasiti yang agresif.


"Kumpulan ini berhasrat mengukuhkan kepimpinan pasaran melalui pengembangan hospital sedia ada dan pelaburan baharu bagi meraih permintaan tinggi terhadap perkhidmatan kesihatan swasta," katanya.


Jelas firma penyelidikan tersebut, usaha berkenaan akan dipacu faktor struktur seperti penuaan populasi, jangka hayat lebih panjang dan peningkatan penyakit kronik di Malaysia pada ketika ini.


Sunway Healthcare juga kata PublicInvest, mengekalkan kelebihan dari segi kecemerlangan klinikal dengan pengembangan perkhidmatan penjagaan tertiari, selain memperluaskan tawaran sokongan.


Ini termasuk seperti segmen perubatan tradisional Cina, dan penjagaan pesakit di rumah, dengan firma itu turut melihat ada potensi besar dalam pelan pengukuhan aktiviti pelancongan perubatan.


"Kami mendapati kumpulan ini berupaya memanfaatkan kedudukan Malaysia sendiri sebagai hab penjagaan kesihatan serantau serta ekosistem bersepadu dimiliki oleh rangkaian Sunway Group," jelasnya.


Dari segi penilaian, PublicInvest menilai Sunway Healthcare pada gandaan nilai perolehan kasar 20 hingga 23 kali bagi FY27, menghasilkan anggaran nilai saksama antara RM1.35 hingga RM1.55 sesaham. 


Walaupun ini mewakili premium berbanding rakan setara tempatan pada 14 hingga 19 kali, ia dianggap wajar berikutan kepimpinan pasaran, pelan pengembangan jelas dan kadar pertumbuhan yang pantas.


Bagaimanapun, ia memberi amaran risiko Utama seperti persaingan sengit, kekurangan doktor dan jururawat serta pelaksanaan sistem 'Diagnosis-Related Group' (DRG) yang dijangka bermula 2027.


Sementara itu, TA Securities menekankan kekuatan jenama dan keupayaan kumpulan melaksanakan pengembangan dengan tempoh yang pantas sebagai pemacu utama penilaian premium Sunway Healthcare.


"Kami menyifatkan kumpulan ini sebagai penyedia penjagaan kesihatan swasta bersepadu terkemuka, dengan rangkaian hospital merangkumi hospital kuartener utama di beberapa lokasi" tambahnya.


Tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan terbitan 575.01 juta saham baharu dan jualan 1.39 bilion saham sedia ada pada harga RM1.45 sesaham, mewakili 17.1% daripada modal saham diperbesarkan.


Pada harga itu, TA Securities menganggarkan saham Sunway Healthcare diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 64.8 kali dan unjuran perolehan kasar 36.1 kali berdasarkan prestasi FY24.


Angka ini jelasnya, lebih tinggi daripada purata industri, namun, firma itu menilai nilai saksama pada RM1.62 sesaham berasaskan gandaan pendapatan kasar 21 kali bagi tahun kalendar 2027.


“Premium ini mencerminkan reputasi jenama kukuh, prospek pertumbuhan jangka panjang serta rekod prestasi pengurusan dalam memastikan hospital baharu cepat mencapai titik pulang modal,” katanya.


TA Securities bagaimanapun mengekalkan penarafan ‘not rated’ menjelang penyenaraian, mengambil kira tahap penilaian yang tinggi walaupun asas perniagaan kekal menarik. - DagangNews.com