KUALA LUMPUR 1 Julai — Langkah pengambilalihan Sunway Berhad ke atas tanah pegangan bebas baru-baru ini dijangka menyaksikan peningkatan penyertaannya dalam banyak projek perindustrian.
Penganalisis berpendapat, usaha terkini itu yang melibatkan kawasan seluas 40 hektar di Rawang, Selangor dengan harga RM65.1 juta juga dilihat sebagai munasabah kepada perniagaannya sendiri.
TA Securities berkata, pemerolehan tersebut turut mencerminkan komitmen kumpulan berkenaan untuk merancang pembinaan taman teknologi perindustrian sedia ada kepada pelanggan pada masa hadapan.
"Walaupun kos tanah mewakili premium 39 peratus untuk petak dizonkan sebagai kegunaan pertanian sebelum ini, kami melihat harga sebagai wajar," kata firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya.
Apa yang penting katanya, 26.8 hektar daripada tapak itu telah dizonkan untuk kegunaan industri, serta menghapuskan keperluan untuk kos penukaran, kebiasaannya melibatkan premium 25 peratus.
Selain itu menurut TA Securities, berdasarkan unjuran projek, kos tanah tersebut diterjemahkan kepada kira-kira 9.3 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai pembangunan kasar (GDV) di situ.
Buat masa ini katanya, ramalan pendapatan Sunway dari 2025 hingga 2027 adalah kekal, kerana sumbangan daripada projek itu dijangka bermula hanya pada 2028, melangkaui unjuran semasanya.
Firma berkenaan turut telah mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan tersebut dengan harga sasaran (TP) yang ditetapkan juga masih lagi tidak berubah sebanyak RM5.68 sesaham.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research pula berpandangan, tanah yang baru sahaja diambil alih kebetulan bersebelahan dengan petak yang telah dibeli Sunway pada Ogos 2023.
Selepas pengambilalihan kata firma itu, jumlah pegangan tanah kumpulan berkenaan di kawasan tersebut akan berkembang kepada seluas 140 hektar, dengan gabungan GDV sebanyak RM2.7 bilion.
"Kami positif terhadap pengambilalihan ini kerana pegangan diperluaskan itu meningkatkan skala ekonomi, membolehkan infrastruktur biasa dan kos pemasaran disebarkan ke atas GDV." katanya.
Di samping itu tambah HLIB Research, pemerolehan tersebut dijangka menyokong kecekapan operasi dan pulangan pelaburan yang lebih kukuh kepada prospek Sunway sendiri dalam jangka masa panjang.
Langkah terbaharu itu, yang merupakan sebahagian daripada projek taman perindustrian berskala besar pertama sepenuhnya, juga membolehkan Sunway untuk mempelbagaikan portfolio perniagaannya.
Kata firma penyelidikan itu lagi, usaha berkenaan dijangka mengurangkan pergantungan kumpulan kepada segmen kediaman dan menyediakan aliran hasil yang lebih seimbang serta berdaya tahan.
HLIB Research juga mengekalkan saranan 'beli' dengan TP tidak berubah sebanyak RM5.90 sesaham berdasarkan pendedahan luas Sunway kepada ekonomi Malaysia dengan potensi baik untuk pertumbuhan.
Dalam pada itu, MIDF Research berkata, ia juga sebahagian besarnya positif terhadap pengambilan tanah tersebut kerana ia membolehkan kumpulan ini mendapat manfaat segmen hartanah perindustrian.
Bahagian berkenaan juga kata firma tersebut, berkembang pesat di Malaysia ketika ini, dan Sunway turut dapat mengukuhkan kehadiran di Rawang dengan potensi GDV untuk tanah itu ialah RM700 juta.
Walaupun prospek Sunway kekal stabil, dengan pemangkin jangka pendek daripada penyenaraian Sunway Healthcare Group Berhad disasar pada separuh pertama 2026, ia tetap menilainya sebagai positif.
Sehubungan itu, MIDF Research berkata, ia mengekalkan saranan 'neutral' disebabkan peningkatan secara terhad dan kebanyakan yang positif sebahagian besarnya diunjur hanya pada ketika ini.
"Kami semak semula TP kepada RM4.87 berbanding RM4.86 sebelum ini, selepas diambil kira pulangan sumbangan nilai aset bersih daripada pengambilan tanah di Rawang," kata MIDF Research. - DagangNews.com








