Strategi lindung nilai belum memadai jamin pertumbuhan mapan Press Metal - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Strategi lindung nilai belum memadai jamin pertumbuhan mapan Press Metal - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Feb – Prestasi kewangan tahun kewangan 2025 (FY25) Press Metal Aluminium Holdings Berhad (PMAH) disifatkan kukuh dan selari jangkaan, namun prospek kenaikan harga saham dalam jangka pendek dilihat terhad berikutan strategi lindung nilai serta pergerakan kadar tukaran asing, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menurunkan saranan saham PMAH daripada BELI kepada PEGANG, dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada RM7.50 sesaham, bersandarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY26E sebanyak 27 kali, sejajar purata lima tahun.

 

Maybank IB bagaimanapun menaikkan unjuran pendapatan FY26E dan FY27E masing-masing sebanyak 1% dan 6% berdasarkan andaian harga aluminium spot yang lebih tinggi, selain memperkenalkan unjuran FY28E.

 

Namun katanya, potensi kenaikan pendapatan dilihat terhad memandangkan strategi lindung nilai kumpulan yang konservatif. 

 

Sehingga 30% pendedahan kepada dolar Amerika telah dilindungi nilai, manakala jualan aluminium telah dikunci pada 65% bagi FY26E pada sekitar AS$2,775 satu tan, 50% bagi FY27E pada sekitar AS$2,875 satu tan, 30% bagi FY28E pada sekitar AS$2,900 satu tan, dan 20% bagi FY29E pada sekitar AS$2,900 satu tan.

 

"Selain itu, sehingga 40% bekalan alumina telah dikunci pada spread kira-kira 14.5% berbanding aluminium, lebih tinggi daripada spread spot semasa sekitar 11%, yang berpotensi mengehadkan manfaat penurunan kos input dalam tempoh terdekat," katanya.

 

Maybank IB menambah, rancangan pengembangan kapasiti huluan menerusi penapis alumina oleh NAIHL serta segmen hiliran seperti ekstrusi bingkai solar yang disasarkan bermula 2026 mungkin berdepan tekanan margin jangka pendek.

 

Ini berikutan harga jualan purata (ASP) yang rendah akibat lebihan kapasiti industri, sekali gus berpotensi memperlahankan pertumbuhan keuntungan dalam tempoh awal pelaksanaan.

 

Sementara itu RHB Research mempunyai pandangan berbeza tentang prospek PMAH dengan menjangkakan kumpulan itu bukan sahaja meneruskan momentum kukuh pada FY26, tetapi berpotensi menjadi tahun rekod baharu disokong harga aluminium yang tinggi serta kos alumina yang lebih stabil.

 

Sehubungan itu firma berkenaan mengekalkan saranan BELI terhadap PMAH dengan harga sasaran (TP) RM8.50 sesaham, membayangkan potensi kenaikan sekitar 12% daripada paras semasa.

 

“Saham ini kini diniagakan pada nisbah P/E FY26F 22.6 kali, selaras purata tiga tahun 22–23 kali. Pada pandangan kami, penilaian ini masih menarik memandangkan pertumbuhan pendapatan yang dijangka meningkat 27% tahun ke tahun,” katanya.

 

RHB kekal optimis terhadap prospek 2026 berasaskan beberapa faktor utama iaitu dolar Amerika yang secara struktur lebih lemah. Unjuran AS$/RM diturunkan kepada 3.85 menjelang akhir 4S26, kira-kira 4% lebih rendah daripada anggaran sebelumnya. Dalam tempoh tiga tahun lalu, AS$/RM menunjukkan korelasi songsang yang kukuh dengan harga aluminium (-0.73).

 

Harga tembaga kukuh – Walaupun harga tembaga susut 4% dalam seminggu, ia masih meningkat lebih 40% YoY. Aluminium pula mempunyai korelasi positif yang tinggi dengan tembaga (+0.75).

 

Bekalan aluminium semakin ketat – Penutupan loji berkapasiti 560,000 tan di Mozambique dijangka mengetatkan lagi bekalan global, menyokong harga serta premium fizikal.

 

Dalam masa sama, harga alumina merosot kepada AS$300–AS$310 satu tan berbanding purata AS$650 satu tan pada Januari 2025, sekali gus menurunkan nisbah alumina/aluminium kepada sekitar 10–11%, jauh lebih rendah daripada purata tiga tahun 17%. - DagangNews.com