Stok tinggi menekan prestasi sektor perladangan pada 4Q25, penganalisis kekal penarafan 'neutral' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Stok tinggi menekan prestasi sektor perladangan pada 4Q25, penganalisis kekal penarafan 'neutral'

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Feb — Tahap inventori minyak sawit mentah (MSM) yang masih tinggi, walaupun mula menyederhana, terus menjadi isu kritikal utama yang mengekang prestasi sektor perladangan.


Menurut penganalisis, keadaan tersebut menyekat kenaikan harga dan pendapatan bagi suku keempat 2025, dengan mereka masih terus mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor berkenaan.


Dua firma penyelidikan tersebut turut memberikan pandangan secara berhati-hati terhadap prospek imbangan bekalan dan permintaan dalam tempoh yang terdekat ke atas syarikat-syarikat terlibat.


RHB Research menjangkakan hasil pada 4Q25 sebahagian besarnya selari dengan unjuran, apabila pertumbuhan pengeluaran suku ke suku (QoQ) sedikit mengimbangi penurunan harga jualan purata (ASP).


"Kami menjangka perbezaan trend pendapatan antara syarikat berfokuskan Malaysia dan Indonesia, dengan negara ini diramal mencatat peningkatan pendapatan QoQ," katanya dalam nota kajian hari ini.


Situasi itu disokong pengeluaran yang lebih kukuh, walaupun ASP sedikit menurun, namun di Indonesia berpotensi mencatat hasil mendatar, apabila ASP yang rendah hanya diimbangi oleh pertumbuhan kecil.


Kata RHB Research, bagi 2025 secara keseluruhan, kedua-dua negara ini dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan tahun ke tahun (YoY) berikutan gabungan ASP dan pengeluaran yang mungkin lebih tinggi.


Firma penyelidikan berkenaan turut menjangkakan sembilan syarikat melaporkan keputusan 4Q25 yang selari, manakala IOI Corporation dan Johor Plantations Group (JPG) berpotensi melepasi unjuran.


"TSH Resources dan PP London Sumatra Indonesia (LSIP) dijangka di bawah jangkaan, manakala stok MSM Malaysia pada Januari 2026 turun 7.7% bulan ke bulan (MoM) kepada 2.81 juta tan," jelasnya lagi.


Bagaimanapun ia jauh melebihi purata sejarah, dengan nisbah stok kepada penggunaan tahunan susut kepada 14%, berbanding purata 15 tahun, menunjukkan pasaran memerlukan masa menyerap lebihan stok.


Oleh itu, RHB Research mengekalkan andaian harga MSM kepada RM4,250 bagi 2026, dengan pilihan utama termasuk JPG, Sarawak Oil Palms (SOP), IOI Corporation, LSIP, SD Guthrie (SDG) dan First Resources.


Sementara itu, MBSB Research menekankan paras stok yang tinggi kekal sebagai faktor utama apabila mengehadkan sentimen harga komoditi, walaupun harga MSM menunjukkan pemulihan jangka pendek. 


"Purata harga MSM pada Januari 2026 berada pada RM4,019 satu tan, turun 0.5% MoM dan 16.5% YoY, sebelum meningkat kepada RM4,222 setiap tan pada hujung bulan tersebut," kata firma berkenaan.


Pengeluaran MSM Malaysia pada Januari 2026 mencecah 1.58 juta tan, meningkat 27.2% YoY, dipacu hasil lebih tinggi di Sabah, Sarawak dan beberapa negeri Pantai Timur serta wilayah Selatan.


MBSB Research berkata, purata hasil buah tandan segar (BTS) meningkat 20.9% YoY, mencerminkan perluasan kawasan matang dan produktiviti ladang yang lebih baik, disokong cuaca menggalakkan.


Stok akhir Januari kekal tinggi pada 2.82 juta tan walaupun susut 7.7% MoM, dengan eksport naik 12.7% MoM kepada 1.48 juta tan hasil aktiviti penambahan stok menjelang musim perayaan.


"Bagaimanapun, kami turut menegaskan permintaan secara keseluruhan masih ketinggalan berbanding bekalan, mengekalkan nisbah stok kepada guna sekitar 12.7%," jelasnya dalam nota analisisnya itu.


Justeru, MBSB Reseaarch mengekalkan pandangan 'neutral' dengan anggaran harga MSM purata RM4,200 bagi 2026, dan menyatakan pemangkin mungkin apabila Indonesia aktif melaksanakan dasar biodiesel.


Antaranya seperti mandat B45, yang dijangka paling awal pada 2H26, dan ia mengekalkan SD Guthrie sebagai pilihan utama berikutan potensi penilaian semula melalui strategi monetisasi tanah.


Secara keseluruhan, walaupun terdapat tanda pemulihan harga jangka pendek, kedua-dua firma sependapat isu stok yang tinggi dan ketidakseimbangan bekalan-permintaan terus mengekang prestasi.


Sektor perladangan diunjur masih lagi bergerak sederhana dalam tempoh yang terdekat, dengan dua firma tersebut menyokong pendirian 'neutral' buat masa ini. - DagangNews.com