SPRM sahkan siasatan ke atas Pamela Ling dilaksanakan mengikut segala peraturan ditetapkan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPRM sahkan siasatan ke atas Pamela Ling dilaksanakan mengikut segala peraturan ditetapkan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Mei — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan siasatan ke atas Datin Seri Pamela Ling Yueh, yang ketika ini disiasat sebagai kes orang hilang oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah dilaksanakan mengikut segala peraturan yang ditetapkan.


Agensi tersebut berkata, wanita itu dan suaminya, Datuk Seri Hah Tiing Siu disiasat berkaitan di bawah Akta SPRM 2009 selain Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).


Kes rasuah serta pengubahan wang haram itu kata SPRM sudah pun dimulakan pada 2024 dengan mereka berdua dipanggil untuk memberikan keterangan dan melengkapkan siasatan.


"Harus ditekankan, pada setiap peringkat, SPRM bertindak mengikut kerangka undang-undang, termasuk mendapatkan semua perintah mahkamah yang diperlukan serta mematuhi peraturan ditetapkan manakala dakwaan gangguan atau salah laku adalah tidak berasas," katanya dalam satu kenyataan.


SPRM walaupun tidak merujuk kepada mana-mana pihak secara spesifik, namun dipercayai sebagai maklum balas kepada kenyataan oleh bekas Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meluahkan kebimbangan serius berhubung tindakan dan kesahihan proses siasatan.


Beliau menyifatkan sebagai amat mengejutkan apabila Pamela ditangkap dan direman oleh SPRM kerana tindakan itu dengan jelas mengesahkan status sah dirinya sebagai suspek serta dipanggil semula direkodkan kenyataan tidak kurang daripada sembilan kali.


Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, SPRM berkata, semakan kehakiman yang difailkan oleh Pamela sebelum insiden kehilangannya tidak pula menafikan atau membatalkan langsung proses siasatan sedang dijalankan berhubung kesalahan disyaki.


SPRM menambah, dari segi cabaran perundangan, ia adalah hak bagi mana-mana individu tetapi  langkah tersebut tidak mengganggu perjalanan penguatkuasaan mengikut proses perundangan yang ditetapkan.

 

Artikel berkaitan: Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM bimbang tindakan, kesahihan siasatan ke atas Pamela Ling
 

sprm pamela


Sejak laporan kehilangan Pamela, SPRM telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM yang kini mengetuai siasatan tersebut dan berharap agar semua pihak mengelakkan daripada membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.


"Pada peringkat ini, keutamaan kita bersama adalah untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa agar usaha mengesan dan membawa pulang Pamel dapat dijalankan dengan lancar, selamat dan secepat mungkin," kata kenyataan SPRM itu.


Agensi tersebut turut memaklumkan kronologi kes itu bermula dengan satu kertas siasatan dibuka pada 28 Mei 2024 namun wanita berkenaan didapati ingkar apabila gagal memberikan kerjasama untuk hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya.


Justeru katanya, waran tangkap diperoleh daripada Mahkamah Majistret Putrajaya pada 2 Disember 2024 sebelum Pamela dihadapkan ke mahkamah sama pada 9 Januari 2025 untuk permohonan reman selama tiga sebelum dilepaskan dengan ikat jamin SPRM.


Pada 9 April 2025, beliau diminta hadir sekali lagi ke ibu pejabat SPRM bagi rakaman percakapan lanjutan berdasarkan maklumat baharu yang diperoleh dan mendapat izin daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan dokumen perjalanan Pamela.


Bagaimanapun kata SPRM, wanita tersebut gagal hadir pada tarikh ditetapkan sebelum peguamnya membuat laporan polis mengenai kehilangan Pamela. - DagangNews.com