KUALA LUMPUR 7 Mei — Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad meluahkan kebimbangan serius berhubung tindakan dan kesahihan proses siasatan dilakukan ke atas Datin Seri Pamela Ling Yueh yang hilang secara tiba-tiba.
Beliau yang mengambil maklum kenyataan dikeluarkan oleh peguam wanita tersebut menyifatkan adalah amat mengejutkan apabila Pamela ditangkap dan direman oleh SPRM kerana tindakan itu dengan jelas mengesahkan status sah dirinya sebagai seorang suspek pada waktu berkenaan.
Bagaimanapun beliau berkata, apa yang amat membimbangkan ialah selepas dibebaskan daripada reman, Pamela kemudian dipanggil semula manakala kenyataannya direkodkan tidak kurang daripada sembilan kali dan perkembangan itu memerlukan penelitian cukup serius.
"Mengikut undang-undang, apabila ditangkap, direman dan direkodkan ketika tempoh reman, kenyataan lanjut tidak dibenar dalam kapasiti sama kecuali individu itu diklasifikasikan semula sebagai saksi, itupun hanya atas kebenaran bertulis Timbalan Pendakwa Raya," katanya dalam satu kenyataan.
Berdasarkan Akta SPRM 2009 dan prosedur undang-undang yang sedia ada tambah Dzulkifli, prinsip asas kepada keadilan adalah kuasa untuk menangkap seseorang hanya harus digunakan apabila terdapat bukti mencukupi bagi menyokong pertuduhan dikenakan secara formal.
Jelas beliau lagi, penangkapan yang dilaksanakan terlalu awal pada peringkat siasatan masih berjalan, bukan sahaja boleh dianggap sebagai tidak wajar, malah melanggar prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan asas.
"SPRM sewajarnya mencontohi pendekatan yang telah diguna pakai dalam kes-kes lain seperti kes Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila beliau walaupun adalah suspek, tetapi tidak ditangkap dan siasatan dijalankan hanya melalui rakaman kenyataan," katanya.
Begitu juga tambah Dzulkifli, dalam kes Datin Vivy Yusof kerana meskipun turut disiasat sebagai suspek, tiada sebarang penangkapan dilakukan semasa fasa siasatan, dan beliau hanya dibawa ke mahkamah selepas pertuduhan tersebut difailkan oleh pihak Pejabat Peguam Negara.
Pendekatan seperti itu katanya, adalah lebih seimbang dan sah dari segi undang-undang, serta seharusnya digunakan secara konsisten.
Sehubungan itu kata beliau, susulan peristiwa dalam kes Pamela, jika benar berlaku, ia boleh menimbulkan persoalan besar terhadap integriti prosedur dan kesahihan siasatan yang dijalankan.
Dzulkifli menambah, adalah penting agar semua agensi penguatkuasaan, termasuk SPRM, sentiasa mematuhi proses keadilan serta perlindungan undang-undang yang digariskan dalam undang-undang Malaysia, bagi memastikan tiada hak individu dicabuli atas nama siasatan. - DagangNews.com








