KUALA LUMPUR 17 Nov – SP Setia Bhd dijangka terus mencatat pertumbuhan berterusan melalui pembangunan projek industri seperti Setia Fontaines di Pulau Pinang, Setia Alaman Industrial Park di Johor dan projek di Vietnam, menurut penganalisis.
Syarikat itu kini memfokuskan usaha kepada pembangunan berasaskan industri dan nilai tambah projek, berbeza dengan strategi penjualan tanah besar-besaran sebelum ini.
Langkah syarikat untuk mendaftarkan Setia REIT pada 2026 juga dilihat sangat strategik untuk membuka nilai aset pelaburan syarikat.
REIT ini dijangka menumpukan kepada aset bernilai sekitar RM2.7 hingga 2.8 bilion dengan hasil dijangka mencecah RM800 juta dan dijangka menjana pendapatan berulang, mengurangkan tahap hutang serta dan memperkukuh pengurusan modal syarikat.
Maybank Investment Bank berkata, di Vietnam syarikat itu merancang membangunkan 366 ekar kawasan di Cay Truong Eco Industrial Park, Ho Chi Minh City, secara bersama dengan rakan usaha sama Becamex IDC dengan pelancaran dijangka pada 2027.
Firma penyelidikan itu berkata, SP Setia juga sedang menyiapkan pelan penubuhan Setia REIT yang dijangka disenaraikan pada separuh kedua 2026, dengan aset awal termasuk Lotus’s Setia Tropika, pusat beli-belah di Johor dan Setia Alam, Setia Corporate HQ, Mercu 2, Aspire Tower, Medan Setia Alam dan Setia SPICE Convention Centre, menjangka membuka potensi penjanaan sehingga RM800 juta.
“Prestasi kewangan SP Setia bagi tahun kewangan 2025 kekal kukuh dengan jualan sasaran RM4.8 bilion, disokong pelancaran hartanah baharu bernilai RM1.7 bilion pada suku keempat.
“Jualan sembilan bulan pertama tahun ini mencatat RM4.1 bilion, berbanding RM3.5 bilion pada tempoh sama tahun lalu,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: SP Setia catat peningkatan jualan 78% kepada RM1.59 bilion pada Q3FY2025 dengan pengurangan hutang
Maybank IB turut menyesuaikan ramalan keuntungan bersih FY25/26/27 sebanyak +18%/+53%/-11% bagi mengambil kira penjualan tanah dan kerugian lebih tinggi daripada projek Battersea Power Station.
Selain itu, Maybank IB berkata, projek Battersea Power Station fasa 3C berjalan mengikut perancangan dengan tumpuan kepada menara kediaman warga emas, manakala fasa 4 masih dalam peringkat perancangan.
“Strategi pengembangan antarabangsa termasuk projek di Australia dan UK dijangka menjadi sumber pertumbuhan tambahan untuk syarikat.
“SP Setia terus mengekalkan sasaran net gearing antara 0.3 hingga 0.4 kali bagi mengukuhkan kedudukan kewangan, sambil membina aliran pendapatan berulang daripada projek industri dan hartanah untuk menyokong REIT pada masa depan,” katanya.
Sementara itu MBSB Research berkata, SP Setia terus menunjukkan prospek yang kukuh walaupun mencatatkan penurunan keuntungan bagi sembilan bulan pertama 2025.
Firma itu berkata, keuntungan bersih 9MFY25 berjumlah RM277.7 juta, turun 29.8% berbanding tahun sebelumnya, disebabkan asas keuntungan yang tinggi pada 9MFY24 yang dipacu oleh jualan tanah serta pengiktirafan pendapatan daripada projek di Australia dan Vietnam.
“Namun, keuntungan teras operasi SP Setia kembali positif pada suku ketiga FY25, mencatat RM86.9 juta berbanding kerugian RM3.5 juta pada suku kedua. Syarikat dijangka mencatat keuntungan suku keempat meningkat secara bermusim susulan peningkatan progres pembinaan, walaupun sumbangan jualan tanah dijangka tidak signifikan.
“SP Setia turut mencatat jualan baru sebanyak RM1.59 bilion pada 3QFY25, meningkat daripada RM1.18 bilion pada suku sebelumnya, dengan RM762 juta daripada jumlah itu hasil jualan tanah termasuk monetisasi kira-kira 300 ekar tanah di Tanjung Kupang.
“Secara keseluruhan, jualan tanah menyumbang 29% daripada jumlah jualan 9MFY25, dengan jumlah jualan 9MFY25 RM3.49 bilion, hampir mencapai sasaran tahunan RM4.8 bilion,” kata MBSB Research.
Dari segi pelaburan, saham SP Setia kini dijual dengan diskaun 72% berbanding nilai aset bersih (NTA), dengan harga sasaran RM1.26 dan potensi pulangan keseluruhan termasuk dividen sekitar 55%.
MBSB Research mengekalkan saranan Beli bagi saham SP Setia. - DagangNews.com








