KUALA LUMPUR 13 Nov - SP Setia Berhad mencatat peningkatan jualan sebanyak 78% kepada RM1.59 bilion pada Q3 FY2025, berbanding RM894 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Momentum jualan meningkat dari suku ke suku, disokong oleh sumbangan daripada transaksi tanah. Jualan pembangunan pula kekal stabil, seiring dengan pelancaran projek hartanah yang berterusan sepanjang tahun.
Bagi suku ketiga FY2025, pendapatan Kumpulan berjumlah RM2.59 bilion, manakala Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) dicatatkan pada RM498 juta, dengan sumbangan utama daripada projek domestik.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, jumlah jualan Kumpulan mencecah RM3.49 bilion berbanding RM3.20 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
Projek domestik menyumbang RM2.91 bilion atau kira-kira 83% daripada jumlah jualan, terutamanya dari Wilayah Selatan dan Tengah masing-masing bernilai RM1.25 bilion dan RM1.48 bilion. Projek antarabangsa pula menyumbang RM577 juta atau 17% daripada jumlah jualan.
Kumpulan turut mengekalkan usaha pengurangan hutang, dengan nisbah bersih-gearing terkini pada 0.35x, sejajar dengan strategi pengurangan hutang yang diterapkan.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, prestasi suku ini adalah bukti komitmen berterusan syarikat dalam menyampaikan produk berkualiti dan memperluas portfolio.
"Kami sedar mengenai cabaran pasaran dan kekal berhati-hati optimis ketika kami meneroka peluang untuk mengukuhkan kehadiran kami dalam segmen pertumbuhan tinggi yang disasarkan.”
Beliau menambah, pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia sebanyak 25 mata asas pada Julai 2025 memberikan momentum kepada pertumbuhan industri pembangunan hartanah, terutamanya dalam segmen kediaman, dengan meningkatkan kemampuan pembeli, mengurangkan kos pembiayaan pemaju, dan berpotensi merangsang sentimen pasaran di tengah ketidaktentuan global yang berpanjangan serta kos pembinaan yang meningkat.
Kumpulan turut menyambut baik langkah kerajaan dalam Bajet 2026 Malaysia Madani untuk melanjutkan pengecualian duti setem hingga 2027 serta memperkukuh skim kewangan bagi membantu pembeli rumah pertama, yang dijangka merangsang lagi pasaran hartanah.
Setia akan terus mempercepat pembangunan bandar katalis, taman industri mesra alam, kerjasama strategik, serta memanfaatkan penciptaan nilai di sepanjang koridor pertumbuhan utama.
Dalam usaha memajukan projek pembangunan utama, Setia baru-baru ini membentuk usaha sama dengan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd pada Oktober 2025, menubuhkan Setia MF EcoHill Sdn Bhd untuk membangunkan projek kediaman seluas 113 ekar di Setia EcoHill, Semenyih, dengan 683 unit banglo, rumah berkembar dan kluster.
Dengan anggaran GDV sebanyak RM1.3 bilion, projek ini dijangka dilancarkan pada 2026, menggabungkan kepakaran reka bentuk Jepun dan Setia dalam menghasilkan kediaman lestari.
Di peringkat antarabangsa, Setia Edenia di bandar EcoXuan, Ho Chi Minh City, Vietnam, dengan GDV sebanyak AS$81 juta (RM381.1 juta), telah mengadakan majlis pecah tanah pada Julai 2025 dan dijangka siap pada 2027. Pembangunan ini dijangka menjadi mercu tanda utama di koridor utara Ho Chi Minh City.
Setia kekal komited untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM4.8 bilion pada tahun ini. - DagangNews.com








