Solarvest catat untung bersih RM21.02 juta pada suku ketiga, hasil melonjak 33.8% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest catat untung bersih RM21.02 juta pada suku ketiga, hasil melonjak 33.8%

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Feb – Solarvest Holdings Bhd merekodkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 46.3% kepada RM21.02 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025 berbanding RM14.37 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pertumbuhan tersebut dipacu prestasi kukuh merentas semua segmen perniagaan.

 

Hasil bagi suku dikaji turut meningkat 33.8% kepada RM181.22 juta daripada RM135.39 juta sebelum ini, disokong terutamanya oleh projek berskala utiliti termasuk pelancaran program Large Scale Solar 5 (LSS5) serta aktiviti berterusan di bawah Corporate Green Power Programme (CGPP).

 

Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, Solarvest mencatatkan lonjakan hasil sebanyak 56.5% kepada RM488.43 juta berbanding RM311.95 juta setahun lalu.

 

Keuntungan bersih bagi tempoh tersebut pula meningkat 77.1% kepada RM55.6 juta daripada RM31.4 juta sebelumnya.

 

Menurut Solarvest, prospek sektor tenaga boleh baharu (TBB) Malaysia kekal positif, selaras dengan sasaran kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB kepada 70% daripada campuran tenaga nasional serta mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

 

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan itu memaklumkan bahawa pihak berkuasa China akan menamatkan rebat cukai nilai tambah (VAT) eksport sebanyak 9% bagi panel solar bermula 1 April 2026.

 

Bagaimanapun, Solarvest menjangkakan impak minimum terhadap operasinya memandangkan ia telah memperoleh jumlah modul solar yang besar pada separuh kedua 2025 pada harga tetap, mencukupi untuk memenuhi keperluan projek semasa dan jangka terdekat.

 

“Kontrak perolehan ini disokong oleh deposit boleh pulang dan jaminan bank, sekali gus memberikan perlindungan kukuh terhadap risiko ketidakpatuhan.

 

“Bersandarkan hubungan jangka panjang dengan pembekal yang mantap, kumpulan tidak menjangkakan sebarang risiko pelaksanaan atau penghantaran susulan pergerakan harga terkini,” katanya. - DagangNews.com