KUALA LUMPUR 22 Okt – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menyiasat gangguan perkhidmatan sistem Aerotrain di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
MAHB dalam satu kenyataan memaklumkan semua dokumen teknikal dan data lengkap berkaitan sudah pun diserahkan kepada APAD, termasuk semua rekod insiden sejak sistem Aerotrain mula beroperasi pada 1 Julai 2025.
MAHB berkata, sejak perkhidmatan itu dilancarkan, tiga insiden telah berlaku iaitu pada 12 Julai, 3 September dan 15 Oktober, yang menyebabkan perkhidmatan terhenti buat sementara waktu.
“Dalam ketiga-tiga kes, penumpang diiring ke terminal menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik, tanpa menjejaskan operasi lain atau pergerakan penerbangan.
“Semua insiden, termasuk isu kecil, direkod dan dilaporkan kepada pihak berkuasa mengikut peraturan Kementerian Pengangkutan.
“Namun, hanya tiga kejadian tersebut memerlukan pemberhentian sementara perkhidmatan,” kata MAHB.
Insiden pada 12 Julai dan 3 September disebabkan oleh kegagalan bekalan kuasa berpunca daripada komponen Current Collector Device (CCD) yang tertanggal, di bawah tanggungjawab kontraktor utama, Alstom, yang mengendalikan sistem tren mekanisme kuasanya.
MAHB berkata, pasukan teknikal Alstom telah menjalankan siasatan menyeluruh serta melaksanakan kerja pembaikan bagi memulihkan operasi.
“Insiden 15 Oktober pula berkaitan gangguan bekalan kuasa pada kedua-dua landasan panduan, di bawah tanggungjawab IJM-Pestech Joint Venture (IPJV) yang bertanggungjawab terhadap sistem agihan kuasa dan kerja pemasangan.
“Ketiga-tiga insiden berlaku dalam tempoh tanggungan kecacatan (defect liability period, DLP), di mana kontraktor bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerja pembetulan, prestasi dan kebolehpercayaan sistem,” katanya.
MAHB telah mengadakan beberapa mesyuarat teknikal bersama pihak pengurusan tertinggi Alstom dan IPJV bagi mengenal pasti faktor penyumbang serta mempercepatkan langkah pembaikan.
Sebelum pelancaran, sistem Aerotrain telah melalui proses ujian, pentauliahan dan pensijilan yang ketat termasuk semakan oleh jurutera bebas dan penilaian kawal selia penuh bagi memastikan pematuhan terhadap piawaian keselamatan dan prestasi.
Susulan insiden terbaru, penilai bebas akan dilantik bagi menambah keyakinan terhadap reka bentuk bekalan kuasa, integriti pemasangan serta kebolehpercayaan sistem.
Sejak mula beroperasi, tiga unit Aerotrain telah membawa lebih 5.75 juta penumpang, melengkapkan lebih 42,000 perjalanan dan mencapai kadar ketersediaan perkhidmatan operasi (OSA) kumulatif sebanyak 99.23 peratus.
Namun, tiada gangguan besar yang menyebabkan penumpang terlepas penerbangan, menunjukkan keberkesanan pelan kontingensi dan langkah pemulihan lapangan terbang.
MAHB menegaskan komitmennya untuk memastikan sistem Aerotrain KLIA kekal selamat, boleh dipercayai dan mematuhi semua piawaian kawal selia serta perjanjian tahap perkhidmatan.
“Keselamatan penumpang kekal menjadi keutamaan, dan syarikat akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan APAD dan Kementerian Pengangkutan bagi memperkukuh prestasi sistem serta mengekalkan keyakinan orang ramai,” kata MAHB. - DagangNews.com








