KUALA LUMPUR 12 Feb — Pasaran e-dagang Malaysia kekal kompetitif pada 4Q25, dengan Shopee terus mempertahankan kedudukan menerajui ASEAN namun TikTok Shop (TTS) mencatat pertumbuhan pesat.
Menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB) dalam nota kajiannya dengan merujuk analisis Cube, TTS berjaya melonjak sebanyak 81% tahun ke tahun (YoY) di seluruh pasaran e-dagang rantau ini sendiri.
Jelas firma penyelidikan tersebut, sebahagian besarnya dipacu oleh faktor migrasi ramai penjual Tokopedia di Indonesia dan penekanan pada kategori yang bernilai tinggi seperti elektronik dan barangan rumah.
"Cube namun menegaskan pertumbuhan TTS tidak memberi tekanan signifikan terhadap Shopee, yang naik 22% YoY dan masih menguasai lebih 50% pasaran di kebanyakan negara, termasuk Malaysia," katanya.
Maybank IB, sebaliknya, Lazada terus kehilangan bahagian pasaran dengan penurunan 42% YoY, sekali gus memperkukuh landskap e-dagang ASEAN yang hanya didominasi teguh dua pemain utama tersebut.
Tambah firma berkenaan, kebanyakan platform kecil seperti Temu dari China dilihat kekurangan kelebihan kompetitif berbanding pemain yang sedia ada, meskipun sudah lama dipasarkan di lebih 90 negara.
Shopee pula jelasnya, terus mempertahankan kedudukan di Asia Tenggara dibantu melalui pelaburan yang besar dalam SPX untuk tugasan logistik, penghantaran pantas, dan perkhidmatan Shopee Pay Later.
"Platform ini semakin menarik perbelanjaan pengguna luar talian kepada platform digital, dan Cube menilai walaupun persaingan sengit, pasaran e-dagang di ASEAN terus berkembang luas," kata Maybank IB.
Dari sudut pengewangan, ia melihat peluang kenaikan kadar pengambilan terutama dari jenama besar dan penjual pusat beli-belah, yang kini menyumbang sebahagian besar pertumbuhan kategori tertentu.
Selain itu tambahnya, platform kini dapat meningkatkan pendapatan daripada iklan tanpa mengganggu ekosistem penjual, kerana tiada bukti isu pengabaian penjual walaupun kadar berkenaan dinaikkan.
Bagi 2026, Cube jelas Maybank IB, menekankan beberapa persoalan utama, antaranya adakah program yang direka khusus seperti VIP Shopee bersama SPX mampu meningkatkan tahap kesetiaan pengguna.
"Ia turut mengemukakan pertanyaan bolehkah TikTok Shop berkembang dalam kategori bernilai tinggi seperti elektronik dan barangan rumah yang penguasaan pasaran masih satu digit," katanya lagi.
Di samping itu, ia menyoal adakah e-dagang dipacu kecerdasan buatan (AI) bakal mengubah struktur pasaran, dengan Cube menganggarkan 3% permintaan di ASEAN kini dipengaruhi oleh teknologi ini.
Secara keseluruhan, Maybank IB menyimpulkan peluang kemasukan pemain baharu serantau kini hampir mustahil, manakala kelangsungan bergantung kepada keberkesanan strategi. - DagangNews.com








