SFZ di Forest City sudah raih momentum bagi menarik banyak pelabur gergasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SFZ di Forest City sudah raih momentum bagi menarik banyak pelabur gergasi

Oleh Amree Ahmad

JOHOR BAHRU 3 Feb - Zon Kewangan Khas Forest City (FC-SFZ) dijangka memperlihatkan lonjakan minat daripada syarikat terkemuka yang sekali gus menandakan trajektori berpotensi sebagai hab kewangan pesat berkembang.
 

Ketika ini dilaporkan sudah ada 11 buah syarikat, termasuk lapan dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Taiwan sudah menunjukkan minat tinggi untuk menubuhkan operasi dalam kawasan tersebut.

 

Antaranya ialah gergasi logistik Tiong Nam Logistics Holdings, pemaju AME Elite Consortium Bhd dan firma pelaburan Wan Li Holdings.
 

Pengurusan aset berwajaran tinggi CIMB Group Holdings Bhd dan Galaxy Securities Co Ltd dari China juga telah menyatakan hasrat untuk menubuhkan operasi di zon itu.
 

Keadaan tersebut sejajar dengan tumpuan strategik SFZ yang merangkumi sektor berpotensi tertentu seperti perbankan, perkhidmatan kewangan, logistik dan perkhidmatan global.
 

Gergasi perbankan Malayan Banking Bhd tidak teragak-agak untuk mengikuti trend, bertujuan bagi mengukuhkan diri sebagai bank pilihan untuk perniagaan tempatan dan antarabangsa di situ.
 

Presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli dilaporkan berkata, bank itu komited untuk menjadi institusi kewangan pilihan transaksi dan penyelesaian kewangan Malaysia-Singapura, yang memupuk integrasi ekonomi dan meningkatkan pertumbuhan serantau.
 

Beliau malah menambah bahawa Maybank bersedia untuk memudahkan perdagangan rentas sempadan, pinjaman pantas dan menawarkan penyelesaian kewangan yang lancar.
 

Institusi itu juga meningkatkan pembayaran digital dan bakal membuka cawangan ‘phygital’ di Forest City tidak lama lagi. Dengan 37 cawangan di seluruh Johor dan 18 di Singapura, Maybank telah menggerakkan RM104.89 bilion dalam kewangan mampan sejak 2021.


Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata bagi mengukuhkan FC-SFZ, kerajaan persekutuan telah memperkenalkan set insentif, termasuk kadar cukai sifar peratus.

 

Ia meliputi pejabat keluarga tunggal, kadar cukai korporat konsesi antara sifar dan lima peratus, dan kadar cukai pendapatan individu khas sebanyak 15 peratus untuk pekerja berpengetahuan dan rakyat Malaysia yang memilih untuk bekerja di Forest City.
 

Langkah-langkah ini bertujuan untuk menarik modal antarabangsa dan meletakkan Forest City sebagai destinasi pelaburan pilihan.
 

Beliau memberitahu Business Times bahawa SFZ akan memberi tumpuan kepada dua sektor utama terutama perkhidmatan perbankan dan kewangan serta logistik, perkhidmatan global dan penempatan semula.
 

Tidak ketinggalan ialan perkhidmatan pelaburan, insurans, teknologi kewangan (FinTech), teknologi kawal selia (RegTech) dan teknologi insurans (InsurTech) untuk perbankan konvensional dan Islam, yang akan dibuka di Forest City Island 1.
 

Perkhidmatan logistik global dan perkhidmatan penempatan semula akan disediakan di tanah besar Forest City, dibantu sokongan khidmat pelanggan, pembangunan produk, pemasaran, kewangan dan perakaunan.
 

Projek mega Forest City yang diketahui sebagai cukup bercita-cita tinggi itu, adalah usaha sama antara Esplanade Danga 88, sekutu anak syarikat kerajaan negeri Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KRRJ).

 

Ia dibentuk melalui usaha sama, Country Garden Holding Ltd (CGPV) yang memegang 60 peratus saham, manakala KPRJ memegang 40 peratus lagi.
 

 

Timbalan Presiden CGPV, Syarul Izam Sarifudi berkata, Forest City bersedia untuk pertumbuhan ekonomi berterusan sepanjang tahun ini, berikutan penetapannya sebagai zon bebas cukai pada November lalu.
 

SFZ di situ juga berstatus bebas cukai dan integrasi dengan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang dijangka meningkatkan ekonomi Johor serta mampu menarik pelabur global.
 

Untuk melibatkan pihak berkepentingan, Forest City telah melancarkan seminar pelabur, termasuk sesi baru-baru ini mengenai satu-satunya pejabat keluarga tunggal dengan dikenakan cukai sifar peratus di Malaysia.
 

Beliau berkata pra-tempahan untuk unit komersial di Teluk Cerulean juga telah dimulakan yang menampilkan ruang pejabat dan runcit lebih fleksibel.
 

Minat daripada institusi kewangan juga telah berkembang, dengan delegasi Johor, yang diterajui lawatan Onn Hafiz baru-baru ini ke Pusat Kewangan Antarabangsa Dubai untuk mendapatkan pelaburan baharu.
 

Syarul berkata pelabur, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), menyatakan minat untuk menubuhkan firma di SFZ susulan kerja peningkatan infrastruktur yang sedang giat dilaksanakan.
 

Forest City merancang untuk mengembangkan rangkaian pengangkutan, termasuk perkhidmatan bas hujung minggu dan percutian baharu dengan operasi syarikat Causeway Link ke Kuala Lumpur, serta penambahbaikan lorong berbasikal dan ketersambungan dengan sistem transit Johor Bahru.
 

"Dengan insentif strategik dan kedudukan global, Forest City muncul sebagai hab pelaburan utama di ASEAN, memacu penciptaan pekerjaan dan pengembangan ekonomi," katanya.

 

Di sebalik kemajuan ini, ada pakar industri telah mengenal pasti pelbagai bidang yang memerlukan peningkatan lanjut untuk menarik spektrum pelabur yang lebih luas.
 

 

Kebimbangan utama termasuk keperluan infrastruktur lebih baik, langkah keselamatan yang dipertingkatkan, prosedur kastam yang diperkemas, penyelarasan mata wang dan kemudahan pergerakan modal bebas.
 

Justeru, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia melaporkan bahawa hubungan antara Malaysia iaitu Johor sendiri dengan Singapura perlu dipertingkatkan lagi.
 

Ketua perbankan global Singapura di Maybank, Gregory Seow berkata kelancaran navigasi yang jelas antara negeri dan persekutuan adalah penting untuk kelulusan pelaksanaan projek.
 

"Forest City sepatutnya menjadi ibu pejabat pentadbiran, dan pihak berkuasa mencadangkan hab kewangan tetapi ketersambungan diperlukan," jelasnya.
 

Sesetengah projek ujarnya, hanya memerlukan kelulusan negeri Johor namun ada yang mungkin memerlukan kelulusan persekutuan.
 

“Itu merumitkan isu. Saya berharap mereka mengemudi isu ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menunjukkan sokongannya. Bank seperti kami mahu menjadi yang terbaik," kata Seow. - DagangNews.com