Sewa rumah di Malaysia cecah paras tertinggi 5 tahun pada 4Q 2024, menurut IQI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sewa rumah di Malaysia cecah paras tertinggi 5 tahun pada 4Q 2024, menurut IQI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mac — Pasaran penyewaan kediaman di seluruh Malaysia mencecah paras paling tinggi dalam tempoh lima tahun pada 4Q 2024, kata firma hartanah tempatan, IQI dalam laporan terkini Indeks Sewa Rumah Malaysia IQI yang diterbitkan hari ini.
 

Ia berkata, indeks berkenaan menganalisis hampir 100,000 transaksi penyewaan kediaman sejak 2018 dan ia satu-satunya ukuran komprehensif bagi arah aliran jangka panjang di negara ini memberikan pandangan mengenai pajakan baharu yang ditandatangani setiap suku tahun.
 

Kadar sewa peringkat nasional kata IQI, didapati meningkat sebanyak 3.9 peratus tahun-ke-tahun (y-o-y) kepada purata RM2,052 untuk mencecah paras tertinggi dalam lima tahun walaupun pertumbuhan adalah kekal stabil dan bukannya ekstrem.

 

Di negeri-negeri tertentu, kadar penyewaan rumah bulanan di Kuala Lumpur adalah konsisten pada RM2,847 selepas melalui tempoh yang tidak menentu, manakala sewa kediaman di Selangor pula menunjukkan ada berlaku pemulihan yang sederhana.
 

Keputusan itu menunjukkan pasaran secara umum sedang menuju ke arah kestabilan dengan sewa semakin stabil dan bukannya melonjak ke hadapan sepatutnya menjadi berita baik untuk penyewa yang bimbang mengenai isu kos sara hidup tinggi.

 

“Indeks Sewa Rumah Malaysia pada 4Q 2024 mencapai tahap tertinggi sejak 1Q 2020, apabila penyewaan kediaman pada suku pertama tahun tersebut didapati menurun akibat kesan daripada kebimbangan wabak Covid-19," kata IQI.
 

Hari ini pula katanya, sewa pajakan baharu adalah 24 peratus lebih tinggi daripada paras terendah direkodkan pada 2020, tetapi penyewa pula secara purata didapati masih membayar RM442 kurang sebulan berbanding pada 2019.
 

“Berbanding dengan 3Q 2024, sewa meningkat 2.8 peratus pada 4Q, dan 3.9 peratus lebih tinggi daripada akhir 2023. Kenaikan stabil ini, berikutan 3Q yang rata, menunjukkan bahawa sewa kembali kepada tahap pra-Covid-19.
 

Trend ini kekal sihat tetapi tidak terlalu 'panas' jika dibandingkan dengan pertumbuhan pesat pada 2022 dan 2023 apabila kadar sewa meningkat masing-masing sebanyak 13.1 peratus dan 5.5 peratus pada tahun-tahun tersebut.

 

“Ramalan pertumbuhan pada 2025 adalah sederhana, bukan satu lagi ledakan atau kejatuhan. Kadar sewa stabil, dan kami menjangkakan untuk mengelak kembali kepada turun naik melampau yang berlaku pada 2020 dan 2021, apabila ia turun naik 26 peratus y-o-y," kata IQI.


Di Kuala Lumpur, purata sewa kekal kepada RM2,847 pada Q4 2024, hanya RM1 lebih rendah daripada 3Q tetapi berbanding 12 bulan sebelumnya, ia turun 10.2 peratus, menjadikan 2024 tahun pertama sejak 2021 berakhir dengan sewa yang lebih rendah daripada permulaannya.


Kejatuhan itu kata IQI disebabkan faktor sewa yang tinggi mungkin mengakibatkan lonjakan pembelian rumah sendiri pada tahun lalu, yang telah mengurangkan permintaan sewaan buat sementara waktu.


“Walaupun mengalami penurunan sepanjang 2024, sewa kediaman di Kuala Lumpur adalah kekal 35 peratus melebihi paras rendah ketika wabak," kata laporan tersebut. - DagangNews.com