Sentral REIT dijangka catat prestasi lebih baik FY26 susulan kadar penghunian semakin kukuh - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentral REIT dijangka catat prestasi lebih baik FY26 susulan kadar penghunian semakin kukuh - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Jan – Prestasi Sentral  Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) dijangka bertambah baik pada FY26, susulan kadar penghunian kukuh khususnya di Menara Shell yang dijangka pulih kepada sekitar 88%, berbanding 82% pada pertengahan 2024 selepas pengunduran penyewa utama, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan itu disokong oleh kemasukan dua penyewa multinasional baharu pada separuh kedua 2025, iaitu sebuah kumpulan teknologi global dan pengendali ruang kerja fleksibel.

 

Selain itu, Arcoris Plaza, aset runcit yang baru diperoleh pada Disember 2025, dijangka menyumbang pendapatan setahun penuh, dianggarkan sekitar 3–4% NPI, sekali gus meningkatkan prestasi keseluruhan REIT pada FY26.

 

"Bagaimanapun, Sentral REIT kekal berhati-hati terhadap kekosongan di Sentral Building 2 (SB2), memandangkan penggantian penyewa mungkin mengambil masa berikutan keadaan pasaran semasa.

 

"Pemulihan penuh dijangka hanya selepas 3Q26, manakala kadar semakan sewaan dijangka kekal pada paras satu digit rendah hingga sederhana, mencerminkan kadar sewaan asas yang sedia tinggi," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun RHB berkata, dengan hasil pelupusan Wisma Sentral Inai kini tersedia, Sentral REIT melihat peluang lebih baik untuk meneruskan pengambilalihan aset dalam segmen bukan pejabat pada tahun ini, dengan anggaran nilai antara MYR80–100 juta, sejajar strategi kepelbagaian asetnya.

 

RHB Research mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran baharu (TP) berasaskan DDM pada MYR0.91 daripada MYR0.92, menawarkan potensi kenaikan 13% serta hasil dividen FY26F sekitar 8%.

 

Menurut firma itu, pihaknya mengurangkan sedikit unjuran pendapatan FY26F bagi mengambil kira pajakan penyewa di Sentral Building 2 (SB2) yang tidak diperbaharui, namun kesannya dijangka masih boleh diurus.

 

TP baharu ini membayangkan hasil dividen FY26F sekitar 8%, atau spread kira-kira 450 mata asas berbanding hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia 10 tahun.

 

Risiko utama yang perlu diperhatikan ialah ketidakpembaharuan pajakan dan kadar semakan sewaan yang lebih rendah daripada jangkaan. - DagangNews.com